ICQS Bantul bakal beri manfaat kepada penduduk setempat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

NABAWAN : Pembinaan Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bantul yang dijangka akan dilaksanakan bermula tahun ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 penduduk di kawasan terbabit.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan sejurus selepas urusan status tanah dengan Kerajaan Negeri selesai.

“Saya ingin memastikan projek yang telah kita umumkan ini iaitu pembinaan ICQS di kawasan Bantul akan bermula tidak lama lagi. Kita tidak mahu ada pihak cuba masuk ke negara ini tanpa menggunakan dokumen yang sah atau masuk sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Kita sudah pun mempunyai masalah besar berkaitan PATI di Sabah ini, jadi kita tidak mahu bila adanya pintu-pintu masuk ini amat mudah untuk mereka keluar masuk dan menyebabkan penambahan jumlah PATI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pondok Polis Pagalungan dan Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, di sini semalam.

Hamzah berkata, berikutan itu sebuah kompleks diperlukan bagi membolehkan sesiapa sahaja keluar masuk didaftarkan kerana pendataan amat mustahak sekali.

Katanya, selain mengeluarkan pasport antabangsa, pembinaan kompleks itu juga dapat memudahkan urusan pendaftaran serta laporan berkaitan jenayah.

“ICQS ini akan memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan ini supaya dia tidak perlu pergi jauh ke Keningau untuk urusan seperti membuat laporan kelahiran, kematian ataupun laporan jenayah.

“Kita boleh menggunakan fasiliti yang ada apabila Balai Polis yang dipertingkatkan kelak boleh menerima laporan kelahiran dan kematian sebagai wakil kepada Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Tambahnya, pihaknya komited untuk mempercepatkan pembinaan ICQS bagi menyeimbangi pembangunan keselamatan sempadan dengan negara jiran iaitu Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Labang, Indonesia.

Tapak ICQS Bantul melibatkan keluasan 65 ekar dan terletak kira-kira 25 km dari lokasi Pondok Polis Pagalungan sekarang atau perjalanan lebih sejam jika menggunakan pengangkutan sungai.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *