Kadar pengangguran golongan belia menurun 5.3 peratus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 20 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]

TUARAN : Kadar pengangguran dalam kalangan golongan belia berusia 15 hingga 40 tahun di seluruh negara menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia menjadikan bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini adalah seramai 585,000 orang berbanding 627,000 orang bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya,  jumlah itu dijangka akan terus menurun sekiranya semua pihak mengambil tahu dan mengambil peduli pelbagai inisiatif serta program yang tersedia untuk golongan belia.

“Terbaharu, Kerajaan melalui kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan  Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) memberi tumpuan lebih kepada pertanian bandar.

“Ini merupakan strategi bagi meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan selain Program Agropreneur Muda. Sejumlah 8,000 usahawan muda telah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan, serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 di Padang Pekan Tuaran di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Belia dan Sukan Malaysia Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu dan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.

Ismail Sabri berkata, industri Agro makanan juga akan dapat memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya jika ia diurus dan diusahakan secara bersungguh-sungguh menggunakan teknologi terkini.

Katanya,  menerusoi Agro Makanan juga ianya akan  dapat menjamin kualiti pengeluaran yang boleh dieksport bagi membantu menambahkan hasil negara.

“Penglibatan belia dalam sektor agromakanan akan diperkasa melalui pelaksanaan program Agro Job Fair @ MAHA 2022 pada bulan hadapan yang menawarkan 5,000 peluang pekerjaan oleh syarikat-syarikat yang menyertainya.

“Sehubungan itu, saya menyeru graduan yang berminat serta golongan belia untuk merebut peluang pekerjaan dalam program ini,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, HBN merupakan pengiktirafan Kerajaan terhadap segala usaha dan kejayaan seluruh belia yang merupakan tunjang dalam pembangunan negara serta keutuhan Keluarga Malaysia.

Katanya, hampir 21.4 peratus atau bersamaan dengan tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia merupakan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.

“Sememangnya angka ini sangat signifikan, sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara. Oleh itu, aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi Kerajaan merangka hala tuju di masa hadapan.

“Apa yang dirancang hari ini, akan diwarisi oleh belia-belia Keluarga Malaysia generasi akan datang kerana ‘Belia pencetus revolusi masa depan negara’,” katanya.

Tambahnya, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 9,766 pertubuhan belia telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan 2019), Akta 668.

“Daripada jumlah itu, 953 buah didaftarkan di Sabah dan di Tuaran sahaja terdapat 33 buah pertubuhan belia,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *