Tuntutan invois palsu, tiga individu didakwa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Tiga individu telah didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan memalsukan tuntutan invois bernilai RM882,560 di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini. (22 Julai)

Bagaimanapun, ketiga-tiga individu lelaki tempatan dikenali sebagai Junaidi Juling, 35, Sainal Tamin, 47, dan Mohd Rahmad Ambotou, 33, mengaku tidak bersalah ke atas tiga pertuduhan yang dibaca di hadapan hakim Abu Bakar Manat.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Norsham Saharom.

Menurut fakta kes, ketiga-tiga tertuduh dipercayai telah mengemukakan invois palsu berkaitan tuntutan bayaran kos pengangkutan bagi projek untuk tempoh tiga bulan iaitu daripada September hingga November 2019.

Katanya, ketiga-tiga tertuduh telah mengemukakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu resit-resit Copy Of Invoice PSS Keningau 2 kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah di Daerah Keningau untuk menipu iaitu menuntut bayaran Kos Pengangkutan Untuk Projek Community Drumming di Bahagian Keningau bagi Zon / Kawasan Pengedaran Pagalungan bagi tempoh kontrak 01 April 2019 hingga 31 Disember 2019. Susulan perkara itu, tiga pertuduhan telah dikenakan kepada mereka yang kesemuanya bernilai RM882,560.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, tiada pengakuan diterima dari ketiga-tiga tertuduh, oleh itu mahkamah memerintah ikat jamin kepada tertuduh, masing-masing RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh Junaidi diarahkan agar pasport antarabangsanya ditahan pihak mahkamah selain diarah untuk melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu setiap sebulan sekali dengan tarikh yang ditetapkan oleh SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Manakala tertuduh Sainal dan Mohd Rahmad yang juga rakan subahat Junaidi turut diarahkan agar pasport antarabangsa mereka ditahan pihak mahkamah selain diarah untuk melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu setiap dua bulan sekali dengan tarikh yang ditetapkan oleh SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes terhadap ketiga-tiga tertuduh pada 20 September ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *