EVIC UMS jangka mampu capai 10,000 pelawat menjelang Disember tahun ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU:  Eco-Campus Visitors Information Centre (EVIC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjangkakan mampu mencapai jumlah 10,000 pelancong antarabangsa menjelang Disember tahun ini.

Menurut kenyataan dari EVIC, jumlah tersebut mampu dicapai berdasarkan trend peningkatan 30 peratus daripada rekod jumlah pelawat bulan Jun hingga bulan Julai dengan anggaran sejumlah 10,765 pelawat sehingga hujung tahun bergantung kepada situasi semasa negara dan pembukaan sempadan beberapa negara lain.

“Sejak dibuka semula secara rasmi pada Mei 2022, kampus UMS telah menerima sejumlah 938 pelancong antarabangsa, merangkumi 26 pelancong yang mula melawat pada 25 Mei, diikuti 583 pelancong pada bulan Jun, dan 284 pelancong sehingga 18 Julai 2022.

“Daripada jumlah tersebut, pelancong dari Korea Selatan mencatatkan jumlah pelancong terbanyak iaitu sebanyak 543 orang, diikuti 54 pelancong dari China, Taiwan dan Hong Kong, 20 pelancong dari Singapura, dan selebihnya pelancong dari negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Malta.

“Perkembangan ini sesuatu permulaan yang positif bagi tempoh dua bulan, dan kita optimis untuk mencatatkan angka melebihi 10,000 pelawat kerana berdasarkan rekod sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 jumlah pelancong ke kampus UMS mencatatkan angka yang tinggi setiap bulan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Untuk rekod, jumlah pelancong yang melawat kampus UMS pada tahun 2019 adalah sejumlah 433,568 orang, manakala catatan dari 1 Januari 2020 sehingga 11 Mac 2020 iaitu sebelum pelaksanaan PKP adalah seramai 20,888 orang.

EVIC juga menjangkakan jumlah kutipan pendapatan sebanyak RM188,722.75 mampu dijana sehingga hujung tahun ini sekiranya angka 10,000 pelawat dicapai.

“Anggaran sumber pendapat tersebut merangkumi penjualan Green Ticket yang dijangka mampu menjana pendapatan sejumlah RM107,650; penjualan cenderamata sejumlah RM12,283.75; penjualan makanan dan minuman ringan dengan sasaran sejumlah RM19,654; dan kutipan hasil penyewaan basikal yang dianggarkan sebanyak RM49,135.

“Berdasarkan penelitian dari EVIC juga lebih ramai pelancong yang datang sendiri ke UMS berbanding menggunakan khidmat pelancongan, justeru EVIC telah mengambil peluang ini untuk menawarkan perkhidmatan sewaan kenderaan kepada pelancong antarabangsa.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan sewaan basikal elektrik dengan kadar RM10 sejam, sewaan Electric Tandem Bike  dengan kadar RM30 sejam, perkhidmatan Buggy Car Ride dengan kadar RM15 bagi satu destinasi, dan sewaan Electric Mountain Bike dengan kadar RM50 sejam,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, empat pakej lawatan khusus kepada pelawat turut ditawarkan dengan kadar bermula RM85 kepada pelawat tempatan dan RM110 kepada pelawat dari negara luar.

Bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke UMS EVIC juga akan menggiatkan aktiviti kolaborasi bersama agensi-agensi berkaitan yang bersesuaian dengan aktiviti promosi EVIC.

“Sebelum Pandemik COVID-19 EVIC pernah bekerjasama dengan syarikat seperti Traverse Tours and Travel bagi tujuan tersebut, dan akan melihat ruang kerjasama dari semasa ke semasa bersama syarikat agen pelancongan, pengurusan acara dan sebagainya.

“EVIC juga telah merancang beberapa program yang bertujuan untuk merancakkan lagi aktiviti dalam kampus antaranya dengan mengadakan Open Day bersama tour agent untuk memperkenalkan tempat-tempat menarik di dalam Eco Campus UMS; menambahbaik perkhidmatan dan kawasan persekitaran EVIC; dan mempergiat aktiviti promosi EVIC di media sosial,” ujar kenyataan dari EVIC UMS.

Bagi sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan EVIC di talian 016-800 8725 atau layari Facebook rasmi UMS EcoCampus Tourism.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *