Ambil peluang promosi perniagaan menerusi MAHA 2022 – Ronald

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Para pengusaha sektor agromakanan khususnya di negeri ini diseru untuk bersama mengambil peluang bagi mempromosikan produk perniagaan menerusi penganjuran ‘Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism’ (MAHA) 2022.

Penganjuran MAHA 2022 yang diadakan selama 11 hari bermula 4 Ogos depan akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Selangor.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, selain mempromosikan produk perniagaan, para pengusaha juga berupaya untuk memperluaskan perniagaan dan produk dari negeri ini.

“Saya menyeru rakyat Sabah khusunya para pengusaha dalam sector agromakanan untuk mengambil peluang dalam MAHA 2022 bagi tujuan mempromosikan dan memperluaskan perniagaan mereka dari negeri Sabah.

“Penglibatan para peserta dari negeri ini akan melalui pelbagai agensi antaranya seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan lain-lain yang akan membawa beberapa wakil untuk menyertai MAHA 2022 di Serdang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program Street Attack MAHA 2022 di Jalan Jati di sini pagi tadi.

Katanya, semua sektor agromakanan  seperti perikanan; penternakan; tanaman padi dan sebagainya akan dipamerkan pada MAHA 2022.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, Street Attack MAHA 2022 Zon Sabah melibatkan usahawan bimbingan Jabatan atau Agensi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Negeri Sabah.

Katanya, melalui program ini, pelbagai produk keluaran peladang, penternak dan nelayan dapat diperkenalkan dan dipromosikan.

Antaranya termasuklah produk ikan segar, buah-buahan segar, produk industri asas tani serta kraftangan.

Street Attack MAHA 2022 ini juga bertujuan untuk mempelawa dan memaklumkan kepada masyarakat di Sabah tentang penganjuran MAHA 2022.

Program itu juga menampilkan Ratu Rock Negara, Ella sebagai Figura Peladang yang menjadi ikon kepada masyarakat peladang, dimana Ella terlibat secara langsung dalam sektor agromakanan negara.

Selain itu , program berkenaan turut dimeriahkan lagi dengan pelepasan kayuhan basikal melibatkan seramai 40 orang peserta kayuhan dari jabatan/agensi MAFI Negeri Sabah yang mengelilingi bandar Kota Kinabalu untuk mempromosikan MAHA 2022.

Kemuncak kemeriahan Street Attack MAHA 2022 Zon Sabah ialah apabila Dr. Ronald Kiandee beramah mesra dan menyerahkan kit promosi MAHA 2022 kepada peniaga di sepanjang Tamu Gaya Kota Kinabalu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *