Prasarana infra pelancongan terus ditambah baik, beri keselesaan kepada pelancong

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 8 Second

SEMPORNA : Prasarana infra pelancongan di Taman Marin Tun Sakaran terus ditambah baik dari masa ke semasa bagi memberi keselesaan kepada pelancong khususnya yang mendaki bukit Pulau Boheydulang.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim berkata, pulau yang mempunyai pemandangan alam semulajadi yang menakjubkan itu turut menjadi salah satu aset penting yang perlu dipelihara.

Katanya, berdasarkan rekod, sebelum pandemik COVID-19 untuk tempoh empat tahun sebelumnya iaitu dari tahun 2016 hingga 2019, jumlah kemasukan pelancong adalah berjumlah pada julat 89,460 hingga 235,968 dan sebahagian besarnya adalah daripada pelancong luar negara.

“Prasarana infra pelancongan di Taman Marin Tun Sakaran ditambah baik dari masa ke semasa. Sebagai makluman, satu pelantar peninjau yang baharu dan lebih menarik telah siap dibina di Boheydulang untuk memberi keselesaan kepada pelancong yang mendaki bukit Pulau Boheydulang.

“Projek dibawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ini mengambil masa satu tahun untuk disiapkan dengan kos menelan belanja RM450,000. Adalah diharapkan ini akan lebih memberi keselesaan kepada pelancong dan dapat menarik lebih ramai pelawat yang akan berkunjung ke Taman Marin Tun Sakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Pewartaan Taman Marin Tun Sakaran kali ke-18 di Kompleks Taman Marin Tun Sakaran di sini baru-baru ini.

Maklarin berkata, diawal  tahun 80-an, kawasan kepulauan Taman Marin Tun Sakaran adalah kawasan yang sunyi khususnya di Boheydulang di mana pulau ini hanyalah merupakan kawasan pengkulturan tiram bagi menghasilkan mutiara sehingga pusat tersebut dihentikan pada tahun 1993.

“Melalui beberapa kajian dan siri ekspedisi saintifik yang telah dilaksanakan,  berdasarkan potensinya yang telah dikenalpasti, Kerajaan Negeri Sabah telah bersetuju kawasan tersebut diwartakan sebagai salah sebuah kawasan Taman Semulajadi Negeri.

“Pada 22 Julai 2004, hal ini telah menjadi realiti dimana sebanyak lapan buah pulau iaitu Boheydulang, Bodgaya, Tetagan, Maiga, Selakan, Sebangkat, Matabuan dan Sibuan; termasuk perairannya dengan keluasan 35,000 hektar telah diwartakan dibawah Enakmen Taman-Taman 1984 sebagai Taman Semulajadi Negeri yang keenam dan dikenali sebagai Taman Marin Tun Sakaran,” katanya.

Dalam pada itu, Maklarin berkata, kawasan itu adalah merupakan sebahagian daripada kawasan Segitiga Karang dunia yang memperuntukkan kepelbagaian sumber marin yang tinggi.

“Kajian terdahulu dalam satu ekspedisi iaitu Marine Ecological Expedition dalam tahun 2010 telah menjalankan kajian batu karang di perairan Semporna termasuk di beberapa kawasan Taman Marin Tun Sakaran.

“Menerusi kajian itu telah merekodkan sebanyak 43 spesis karang jenis cendawan adalah antara yang tertinggi di dunia dan boleh dijadikan sebagai petunjuk kepada kepelbagaian komposisi spesis karang di sesuatu kawasan.

“Maka dengan itu, tidak hairanlah untuk penggemar selam scuba menjadikan perairan ini sebagai salah satu destinasi pilihan untuk menyelam,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *