HomeUtama'Dark Tourism' berpotensi tarik lebih ramai pemain industri perfileman

‘Dark Tourism’ berpotensi tarik lebih ramai pemain industri perfileman

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU : Konsep pelancongan baharu ‘Dark Tourism’ berpotensi untuk menarik lebih ramai pemain industri perfileman luar negara mahupun syarikat tempatan bagi membuka ruang untuk mendokumentasikan lokasi-lokasi ‘Dark Tourism’ di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, inisiatif itu juga akan dapat membantu mempromosikan konsep pelancongan berkenaan kepada masyarakat.

Katanya, Dark Tourism telah lama dipasar dan dipromosikan di negara-negara barat dan di Sabah konsep ini merupakan konsep pelancongan baharu yang telah diusahakan sejak tahun lalu.

“Ini adalah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai tempat tarikan Dark Tourism di Sabah dan mendorong pelancong luar untuk mengetahui sejarah dan tempat tarikan budaya negeri kita.

“Dari segi pendidikan pula, ini akan dapat menarik minat para pelajar untuk mengetahui dan memahami sejarah peristiwa pada masa lampau berkaitan sesuatu tempat, selain sebagai sumber rujukan dalam memahami dengan lebih mendalam mengenai Dark Tourism.

“Dengan ini, kita akan dapat mendidik seluruh generasi untuk lebih menghargai sejarah,” katanya ketika berucap merasmikian Bengkel Dark Tourism 2022 di sini kelmarin.

Jafry berkata, dengan adanya produk baharu ini, ianya bakal menjadi trend besar dalam pembangunan industri pelancongan di Malaysia khususnya di negeri Sabah.

Katanya, ini sekaligus, menjadikan lokasi Dark Tourism tempat yang popular untuk dikunjungi, seterusnya dapat meningkatkan kedatangan pelancong.

“Selain itu, Dark Tourism mampu membuka peluang pekerjaan dan menjadi salah satu sumber pendapatan kepada penduduk tempatan.

“Pada masa yang sama, dapat meningkatkan populariti produk pelancongan yang lain seperti pelancongan eko, pelancongan luar bandar, pelancongan berasaskan komuniti dan pelancongan inap desa,” katanya.

Sementara itu, Jafry berkata, meskipun produk Dark Tourism sangat baharu namun ia telah lama wujud dan cuma tidak diterjemahkan secara umum.

“Oleh kerana itu, saya berharap dengan produk baharu ini, ia dapat menarik minat penduduk tempatan dan masyarakat setempat untuk belajar serta mendapat pengertian yang lebih terperinci tentang kepentingan tragedi-tragedi atau kisah-kisah yang berlaku pada masa dahulu,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Sabah sedia pelbagai bantuan pendidikan, pastikan rakyat mampu bersaing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular