‘Bekalan berlebihan punca ayam jadi gemuk’ 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

JOHOR BAHRU: Isu ayam gemuk yang dijual di pasaran pada masa ini tidak menjadi masalah, sebaliknya pengguna boleh membuat pilihan masing-masing untuk membeli ayam mengikut saiz dikehendaki.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata bekalan ayam kini mencukupi dengan harga yang stabil, malah bekalan daripada penternak sudah berlebihan dan ada yang dijual melebihi 40 hari menyebabkan saiz dan beratnya lebih besar daripada ayam standard.

“Sebenarnya pembeli ada pilihan masing-masing, sama ada ayam kecil atau besar, mereka boleh pilih, jadi tiada masalah.

“Bekalan ayam sudah stabil, bahkan sekarang berlebihan. Sebenarnya ayam ini dalam 34 hari sudah cukup untuk dipasarkan, tetapi apabila bekalan terlebih, maka lambatlah ayam dipasarkan, jadi ia akan makan lebih dan menjadi besar. 

“Ada yang lebih 40 hari baru dijual, tetapi jangan bimbang ia tidak menimbulkan apa-apa masalah,” katanya pada sidang media pada Majlis Perasmian Road To MAHA Zon Selatan di Angsana Johor Bahru Mall semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip serta Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Ahmad berkata, pengeluaran ayam sehingga Julai lalu sebanyak 2.01 juta sehari, namun hanya digunakan sebanyak 1.8 juta ekor sehari saja.

Beliau turut menafikan, isu ‘ayam gemuk’ itu dikaitkan dengan tindakan penternak ayam yang menyorokkan bekalan.

Sementara itu, mengulas pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, Ahmad berkata, acara dwitahunan itu diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan maya.

“MAHA kali ini diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara maya berikutan keadaan negara yang masih pada fasa endamik, namun kita mematuhi peraturan ditetapkan supaya sama-sama menghormati usaha mengekang penularan COVID-19.

“Lokasi MAHA masih di MAEPS, Serdang kerana kawasan ini cukup strategik membabitkan semua segmen seperti pertanian dan penanaman, penternakan atau agrikultur,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *