KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Perpustakaan dengan kerjasama Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA) menganjurkan Program Eksplorasi Ilmu @ Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas sebagai sebahagian inisiatif Baca@Borneo 2026 bagi memperkasa literasi ilmu dan STEM dalam kalangan komuniti sekolah.
Majlis perasmian disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, yang diwakili oleh Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Datuk Tiyunin.

Dalam ucapan Kasim, beliau berkata universiti berperanan sebagai agen perubahan dalam menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat serta memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat.
“Universiti bukan sekadar institusi akademik, tetapi turut berperanan sebagai pemacu perubahan yang membawa ilmu terus kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi UMS sebagai The Brain of Borneo,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama strategik bersama MKPUA, Perpustakaan UMS dan U-Science membuka ruang lebih luas dalam memperkukuh ekosistem pendidikan komuniti.

“Pendekatan kolaboratif ini membolehkan ilmu disampaikan secara lebih inklusif dan berimpak tinggi, khususnya kepada pelajar di peringkat sekolah,” katanya.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pembudayaan ilmu sejak peringkat awal bagi membentuk generasi berpengetahuan dan berdaya saing.
“Pendedahan awal kepada budaya membaca serta pendidikan STEM amat penting dalam melahirkan generasi yang kritis, kreatif dan inovatif,” katanya.
Program ini melibatkan kira-kira 500 peserta dengan pelbagai pengisian termasuk pameran STEM, bengkel roket air, pengaturcaraan Scratch, aktiviti DIY STEM Kit, galakan membaca serta saringan kesihatan.
Inisiatif penambahbaikan Pusat Sumber SK Petagas turut dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
Penglibatan U-Science UMS serta pelaksanaan program Professor@School melalui Profesor Dr. Zaleha Abd. Aziz, alumni SK Petagas, turut memberi inspirasi kepada murid untuk terus mencapai kecemerlangan.
UMS berharap program seumpama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada masa akan datang bagi memperkukuh ekosistem pendidikan dan melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing.



