HomePolitikRUU Antilompat Parti lulus, disokong lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat

RUU Antilompat Parti lulus, disokong lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat

Read Time:3 Minute, 0 Second

KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata, apabila RUU diluluskan, akan diadakan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negara pada 8 Ogos 2022.

Terdahulu, ketika menggulung RUU tersebut, Wan Junaidi berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas memutuskan bahawa Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari suatu parti politik dalam suatu gabungan, dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza, maka Ahli Dewan Rakyat tersebut terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi.

“Ini kerana keanggotaan seseorang Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik, tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan atau tidak.

“Selain itu, keanggotaan seseorang Ahli Dewan Rakyat juga merujuk kepada seseorang Ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota manamana parti politik yang membentuk sesuatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu (direct member of the coalition party),” katanya memetik laporan Astro Awani.

Dalam hal tersebut, Wan Junaidi berkata, Ahli Dewan Rakyat yang merupakan direct member of the coalition party yang berdaftar di bawah undang-undang Persekutuan akan dianggap bertukar parti jika beliau keluar daripada gabungan tersebut.

Beliau juga turut menyentuh mengenai persoalan mengenai kedudukan Ahli Dewan Rakyat sekiranya parti-parti politik diwakili keluar dari gabungan dan menyertai gabungan lain.

“Saya ingin menarik perhatian semua Ahli Yang Berhormat bahawa prinsip larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berpegang kepada keahlian Ahli Dewan Rakyat dalam suatu parti politik.

“Oleh yang demikian, sebarang tindakan suatu parti politik termasuk keluar dari suatu gabungan dan menyertai gabungan lain tidak dianggap sebagai tindakan bertukar parti. Mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang kekal dalam parti gabungan sedia ada juga tidak akan dianggap bertukar parti,” katanya lagi.

Merujuk mengenai situasi sekiranya seorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip yang bertentangan dengan prinsip parti politik yang diwakilinya, Wan Junaidi berkata, ia bergantung kepada peruntukan Perlembagaan Parti itu sendiri.

“Ini adalah sekiranya perlembagaan parti politiknya memperuntukkan bahawa perbuatan Ahli Dewan Rakyat tersebut yang tidak mengikut prinsip parti/melanggar arahan Whip akan terjumlah kepada beliau tidak lagi menjadi anggota parti politik (ceases to be a member) tersebut dengan sendirinya.

“Merujuk kepada perkara ini, Perlembagaan sesuatu parti politik menentukan tindakan terhadap Ahli Dewan Rakyat tersebut. Oleh itu, terdapat keperluan untuk pindaan dilaksanakan terhadap Perlembagaan satu Parti Politik bagi memastikan ia selaras dengan Rang Undang-Undang ini,” jelasnya lagi.

Selain itu Wan Junaidi berkata, penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak diambil kira dalam RUU tersebut.

Jelasnya lagi, ia bermaksud, jika seseorang menggunakan simbol sesuatu parti politik, mereka tidak akan dianggapkan sebagai bertukar parti jika mereka kembali ke parti mereka atau kekal bebas.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya Ahli Dewan Rakyat Bebas itu dianggap melompat parti jika menyertai sesebuah parti politik kemudiannya, dan individu itu perlu mengosongkan kerusinya.

Pada 13 Julai lepas, Wan Junaidi dilaporkan sebagai berkata, Bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos 2022 diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos 2022.

“Setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Rang Undang-undang tersebut akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan di antara 11 hingga 26 Ogos 2022 untuk diperkenankan dan pewartaannya dijangka bakal dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 September 2022,” menurut kenyataan itu lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya