15,048 kg minyak masak paket bersubsidi bernilai RM37,620 dirampas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan berjaya merampas 15,048 kilogram minyak masak paket bersubsidi pelbagai jenama dalam satu serbuan di sebuah  rumah tanpa nombor di Kampung Jawa 2, Batu 12 Jalan Sin Kee di sini, semalam.

Serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP itu dijalankan pada jam 7.30 malam selepas mengesyaki premis berkenaan melakukan penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata, minyak masak yang dirampas itu disimpan didalam kotak; tangki putih dan gelen pelbagai warna.

“Dalam serbuan ini kita berjaya merampas sebanyak 436 kotak bersamaan dengan 7,412 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama, lima tangki putih berisi dalam anggaran 7,500 kilogram, lapan gelen pelbagai warna berisi minyak masak bersamaan 136 kilogram dimana jumlah keseluruhan minyak masak yang dirampas adalah sebanyak 15, 048 kilogram dengan nilai rampasan RM 37, 620.

“Serbuan ini adalah hasil risikan selama satu minggu dan ketika serbuan dijalankan tiada individu yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azdy berkata, berdasarkan keterangan awal, premis tersebut tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Dalam pada itu, Azdy berkata, para pemilik kilang membungkus semula (Repacker) minyak masak bersubsidi juga adalah diingatkan agar tidak menjual minyak masak paket satu kilogram bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDNHEP.

Katanya, pihak Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.

“KPDNHEP Cawangan Sandakan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitanminyak masak paket satu kilogram bersubsidi agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *