HomeUtamaIbu bapa diminta beri galakkan anak-anak pilih jurusan sains

Ibu bapa diminta beri galakkan anak-anak pilih jurusan sains

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Ibu bapa diminta untuk sentiasa memberi galakkan kepada anak-anak untuk memilih jurusan sains di peringkat sekolah menengah seterusnya memilih kerjaya dalam bidang berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, ianya adalah bagi membantu Kerajaan mencapai hasrat ke arah sebuah negara yang maju dan progresif.

Katanya, trend kemasukan pelajar dalam aliran sains penuh atau Sains,Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah dan universiti pada masa kini dilihat semakin menurun.

“Semasa mesyuarat Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah (MaPTIS) baru-baru ini, didapati trend kemasukan pelajar dalam aliran sains penuh atau STEM semakin menurun dan keadaan ini amat membimbangkan kerana banyak peluang pekerjaan yang ada ketika ini memerlukan kelulusan dalam bidang STEM.

“Sebagai contoh, dalam bidang petroleum, syarikat terpaksa mengambil pekerja separuh mahir daripada Semenanjung atau Sarawak kerana anak-anak kita tidak mempunyai kelayakan. Tetapi Kerajaan tidak membiarkan keadaan ini kekal begitu sahaja.

“Kementerian turut menuntut kepada PETRONAS untuk memberi latihan kepada anak-anak Sabah bagi melayakkan mereka mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat di bawah PETRONAS,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Sains Sabah Tahun 2022.

Program itu dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dengan kerjasama Jabatan serta Agensi di bawah KSTI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI), Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Yakub berkata, pihaknya yakin menerusi penganjuran program pembudayaan seumpama  daripada pelbagai agensi mampu menarik minat anak-anak kepada bidang STEM dan seterusnya menepis persepsi bahawa sains itu adalah mata pelajaran yang sukar.

Katanya, pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) merupakan misi utama KSTI dalam menjadikan STI sebahagian daripada budaya dan cara hidup masyarakat negara ini khususnya di kalangan remaja dan orang dewasa.

“Namun begitu, usaha ini harus dilakukan secara bersepadu di antara semua kementerian dan agensi, ibu bapa, tenaga pengajar dan seluruh masyarakat dan industri.

“Ilmu STI ini bersifat enabler dan merentas semua kementerian dan sektor ekonomi.  Sudah tiba masanya, kita melahirkan masyarakat pencipta teknologi dan bukan setakat menjadi pengguna teknologi dan ini sekaligus akan mengurangkan kebergantungan kita kepada teknologi daripada luar,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia: Rakyat Derita Kesihatan Mental  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya