HUMS, Cardiff University jayakan intervensi ACT di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Cardiff University School of Psychology mengadakan intervensi Terapi Penerimaan dan Komitmen (ACT) untuk kesihatan ibu dan anak (Perinatal Health) bermula Jun hingga Oktober depan.

Pengarah HUMS, Prof. Dr. Helen Lasimbang berkata, intervensi yang merangkumi dua fasa itu melibatkan ibu mengandung serta staf HUMS dan dua buah klinik kesihatan.

“Fasa pertama merangkumi 25 kakitangan HUMS dan Klinik Kesihatan (KK) Sikuati yang telah menjalani latihan secara dalam talian melalui program yang dinamakan Training of Trainers baru-baru ini.

“Dalam fasa kedua, 250 ibu mengandung di KK Sikuati, KK Tamparuli, serta HUMS menerima intervensi ACT secara berkumpulan selama 10 minggu bermula Ogos sehingga Oktober 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Helen berkata, intervensi psikologi untuk ibu dan anak itu diadakan buat julung kalinya di Sabah seterusnya dibuat secara besar-besaran.

“Projek intervensi ini juga adalah buat yang pertama kalinya ditawarkan di kawasan desa atau luar bandar di negeri ini.

“Ia selaras dengan salah satu bidang tujahan atau niche area HUMS iaitu healthcare uberisation, yakni membawa perkhidmatan kesihatan kritikal ke pesakit, bukannya menunggu pesakit datang ke hospital,” katanya.

Helen turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi merealisasikan program berkenaan.

“Setinggi penghargaan kepada dua pakar dari Cardiff University School of Psychology iaitu Dr. Cerith Waters dan Dr. Jennifer Berrett kerana bersama-sama dengan HUMS bagi menjayakan projek ini.

“Terima kasih juga kepada Pegawai Perubatan Jabatan Psikiatri dan Psikologi HUMS, Dr. Farahin Musa selaku pengelola projek.

“Sesungguhnya, adalah menjadi harapan HUMS untuk terus memainkan peranan dalam usaha memanjangkan intervensi ini kepada kesemua perkhidmatan ibu dan anak, tidak kira di bandar atau desa, mahupun di hospital atau di klinik desa,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *