HomeUtama11 CSI, 20 syarikat kecil di Sabah beri peluang pekerjaan kepada penghuni...

11 CSI, 20 syarikat kecil di Sabah beri peluang pekerjaan kepada penghuni penjara

Read Time:3 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 11 syarikat Corporate Smart Internship (CSI) berkolabrasi dengan Jabatan Penjara di Sabah setakat ini, tidak termasuk lokasi ladang sawit dimiliki oleh pihak FELCRA yang sangat aktif di seluruh negeri.

Manakala lebih 20 buah syarikat kecil iaitu majikan yang turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penghuni penjara.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim turut berasa bangga dan merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Penjara kerana terdapat juga sebuah syarikat atau majikan yang dimiliki oleh bekas banduan telah turut membantu dalam usaha untuk Program Pemulihan Luar tembok ini.

“Saya dimaklumkan pemilik syarikat tersebut turut bersama dengan kita pada pagi ini. Tahniah kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana telah membuktikan bahawa program pemulihan yang dibuat selama ini telah menampakkan hasil sekaligus mengurangkan stigma masyarakat bahawa bekas penghuni tidak boleh berubah serta tidak insaf. Diharap ianya dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap bekas banduan.

“Teruskanlah mencurahkan bakti dengan penuh keikhlasan, integriti dan amalkan budaya kerja cemerlang untuk mentransformasikan penjara sebagai Pusat Pembangunan Ketamadunan Budaya Kemanusiaan.

“Kita berharap agar lebih ramai lagi bekas banduan yang berjaya pada masa akan datang.

“Pihak Kerajaan Negeri melalui Kementerian saya sentiasa bersedia membantu dari segi khidmat bimbingan kepada penghuni untuk memulakan perniagaan sebagai usahawan di pelbagai sektor industri,” katanya.

Dengan pengiktirafan sebegini dan penglibatan semua pihak secara holistik maka sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian, beliau akan berusaha membuka peluang-peluang pekerjaan di kalangan penghuni penjara bermula daripada agensi-agensi di bawah Kementeriannya.

“Saya akan mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk membuat tindakan susulan ke atas perkara ini. Oleh itu saya mohon Jabatan Penjara Negeri Sabah untuk mengadakan sebuah sesi perjumpaan dengan semua syarikat swasta di bawah seliaan saya untuk mendapat maklumat lanjut,” katanya ketika merasmikan Program Outreach KJP bersama CSI dan majikan di sini hari ini.

Memandangkan semua penghuni penjara yang bakal menyertai Sistem Parol dan Pembebasan Berlesen merupakan warga Malaysia, Dr. Joachim berkata, beliau akan berusaha agar pihak syarikat memberi keutamaan kepada mereka dari segi peluang pekerjaan sekaligus akan mengurangkan kebergantungan kepada buruh warga asing.

Terdahulu, beliau menjelaskan, Jabatan Penjara sememangnya telah lama menjalankan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang terdiri daripada Sistem Parol iaitu Orang Yang Diparol (ODP), Pusat Kehadiran Wajib (PKW), Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dan Pusat Reintergrasi Penghuni (PRP).

“Secara umumnya, Sabah telah melepaskan lebih kurang seramai 3,885 penghuni daripada tembok penjara ke dalam komuniti iaitu ODP sahaja sejak Sistem Parol ini di laksanakan iaitu pada awal tahun 2008 lagi.

“Syabas dan tahniah Jabatan Penjara Malaysia atas usaha yang murni dan proaktif ke arah menjadikan jabatan ini selaku peneraju Sistem Koreksional yang terulung di Malaysia. Sesuai dengan Visi Jabatan Penjara Malaysia itu sendiri iaitu sebagai Peneraju Perkhidmatan Korektif di Malaysia semoga akan menjadi sebuah organisasi koreksional bertaraf dunia yang terbilang akan tercapai.

“Saya amat teruja dan tertarik dengan cara Jabatan Penjara Malaysia menginisiatif kaedah untuk mengurangkan kos perbelanjaan menjaga dan mengawal penghuni dalam penjara serta mengurangkan kesesakan iaitu melalui sistem parol dan menambahbaik dengan melibatkan syarikat-syarikat korporat serta majikan.

“Saya melihat kolobrasi antara dua pihak ini melalui persefahaman yang mendalam akan mengalakkan keberkesanan program pemulihan di luar tembok penjara, sekaligus mengurangkan kadar pengulangan jenayah di kalangan penghuni.

“Ini kerana dengan adanya peluang pekerjaan dan pendapatan yang tinggi para banduan mempunyai satu jaminan hidup yang lebih terurus dan terjamin.

“Saya mendapat makluman bahawa terdapat majikan di Sabah yang menawarkan gaji kepada ODP mencapai angka RM3000 sebulan,” katanya, sambil menambah, jika banduan tersebut tidak diberi peluang pekerjaan atau mendapat peluang menjalani Perintah Parol serta menghabiskan tempoh hukuman dalam penjara, negara tentu akan kerugian tenaga dan masa orang banduan tersebut yang jelas berpotensi untuk turut bersama membangunkan ekonomi.

Sebagai menyokong Jabatan Penjara, Dr. Joachim turut mengesyorkan agar hasil kerja tangan bengkel atau produk makanan oleh para penghuni penjara seluruh Sabah dijual setiap hari di pusat-pusat Industri kecil Sederhana ( IKS ) mengikut daerah berdekatan institusi penjara.

“Kita mempunyai Pusat IKS di daerah Kota Kinabalu, Beaufort, Papar dan Ranau. Pada masa akan datang Pusat IKS juga akan di buka lagi bagi di daerah Kota Merudu, Tuaran, Tawau dan Keningau. Sekiranya tidak melanggar peraturan penjara kita akan menjemput Jabatan Penjara untuk mempamerkan hasil-hasil penghuni di ekspo- ekspo yang Kementerian saya anjurkan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya