Masidi tegur penjawat awam makan gaji tetapi gagal pastikan jambatan rosak dibaiki

Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun menegur segelintir penjawat awam bergaji yang gagal memastikan jambatan dibina dan dibaiki dengan baik di seluruh negeri kerana kerap membahayakan nyawa kanak-kanak dan orang dewasa di luar bandar.

Katanya, penduduk di luar bandar perlu menyeberangi jambatan yang rosak atau yang dibina secara sementara untuk ke sekolah atau bekerja.

Mengulas mengenai klip video viral terbaru yang memperlihatkan pelajar sekolah di Tulid, Keningau yang sedang berjalan di atas saluran-saluran paip untuk menyeberangi sungai, Masidi berkata kejadian ini menunjukkan bahawasanya pengawasan yang rapi terhadap keadaan di kawasan luar bandar adalah amat diperlukan.

“Bagi saya, semua kakitangan kerajaan datangnya dari pelbagai jabatan – sepatutnya kerja-kerja pembaikan sebegini boleh dijalankan sesegera mungkin, bukan?”

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana kebanyakan kes sebegini lambat dimaklumkan kepada pihak berwajib, malah kadang-kadang ia tidak dilaporkan sama sekali. Namun begitu ia serta-merta akan menjadi tumpuan perhatian umum selepas seseorang memviralkannya, sekaligus menjadikan kerajaan sebagai mangsa tudingan jari dan dipersalahkan.

Setiap kali klip video atau gambar yang memaparkan kanak-kanak dan/atau orang dewasa yang ‘terpaksa’ menempuh pelbagai kesukaran di kawasan luar bandar tular di media sosial, kemarahan dan kritikan pasti meletus dengan meluas dalam kalangan netizen di seluruh negara.

Sebagai contoh terdapat satu kes, yang mana salah seorang guru SK Pengaraan dilihat terpaksa bersusah-payah berjalan kaki selama 18 jam untuk ke sekolah. Terdapat juga satu kes yang menunjukkan pelajar sampai terpaksa menggunakan ‘zipline’ (seperti kabel wayar yang digunakan dalam ‘flying fox’) untuk menyeberangi sungai ke sekolah, manakala ada juga kes pelajar terpaksa menaiki bot (tanpa kemudahan jaket keselamatan) di Pitas.

Menurut Masidi, sebahagian besar tanggungjawab untuk menangani masalah tersebut terletak di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pendidikan.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mahu tergesa-gesa menuding jari kepada sesiapa, kerana beliau menegaskan bahawa beliau pernah menerima contoh video dan gambar yang menjadi tular serta telah dieksploitasi untuk agenda tertentu.

Sebagai contoh, terdapat beberapa kes tertentu yang mana penduduk kampung lebih suka menggunakan jambatan/jalan usang berbanding jambatan/jalan baru yang lebih elok keadaannya, tambah Masidi lagi.

“Maaf saya cakap di sini, ada pihak yang lebih suka mengambil risiko kerana jambatan alternatif sementara terletak jauh. Pada pendapat saya, lebih baik jika kita tidak terlalu cepat menilai, sebaliknya eloklah disiasat terlebih dahulu duduk perkara sebenarnya dan dapatkan maklumat lebih lanjut. Kita tidak seharusnya menyalahkan mana-mana pihak dan menuding jari hanya berdasarkan satu gambar ataupun klip video,” ujar beliau.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.