Pemimpin akar umbi perlu sentiasa berkomunikasi dengan jabatan, agensi Kerajaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

TAMPARULI: Para pemimpin di peringkat kampung diseru untuk sentiasa berkomunikasi dengan jabatan mahupun agensi Kerajaan sekiranya mempunyai keperluan dan menghadapi masalah di kawasan masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, komunikasi dua hala itu perlu bagi memastikan pembangunan dan penyelesaian masalah diperingkat akar umbi dalam diambil perhatian.

“Menerusi komunikasi yang ada, sudah pasti ianya akan dapat menghubungkan dua belah pihak iaitu rakyat dan pemimpin bagi tujuan berkongsi maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santai Minda Bersama Agensi Kerajaan Dan Swasta Daerah Kecil Tamparuli 2022, anjuran bersama Jabatan Penerangan Tuaran dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, di sini kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Daerah Tuaran, Syahrin Samsir dan Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Herman Tunggiging.

Jahid berkata, pendekatan untuk mendengar suara rakyat menerusi sesi dialog berkenaan adalah bertujuan untuk mengetahui perspektif sebahagian penduduk tentang perancangan-perancangan pembangunan melibatkan setiap jabatan yang ada, termasuk juga permasalahan di kampung masing-masing.

“Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung memainkan peranan penting dalam menggerakkan komuniti kampung untuk melaksanakan pembangunan demi kemajuan dan kesejahteraan kampung itu sendiri, ini termasuklah meuar-uarkan dasar-dasar Kerajaan dan mengenal pasti segala masalah di kawasan mereka,” katanya.

Beliau turut berharap menerusi dialog seumpama itu akan dapat mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang mungkin berlaku seperti kelemahan pemantauan pentadbiran, konflik pengurusan, kurang komitmen ketika menjalankan tugas, amanah dan sebagainya, agar dapat diatasi dengan bijaksana dan berhemah.

Katanya, para pemimpin perlu diperkasakan, kerana ia merupakan satu institusi yang sentiasa dekat dan bersama akar umbi, di mana secara tidak langsung institusi ini juga menjadi sistem penyampaian Kerajaan yang efektif dan berkesan untuk menghebah serta melaksanakan dasar-dasar semasa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *