Penuntut IPTA/S dipelawa sertai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU : Penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) dipelawa untuk menyertai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2022 yang diadakan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa berkata, pertandingan itu diadakan adalah bagi melahirkan rasa bangga dan cinta kepada negara dalam kalangn Penuntut universiti serta masyarakat.

“Konsep pertandingan ini adalah mengisahkan atau menceritakan berkenaan tokoh sejarah, tokoh politik, ahli sukan dan sebagainya yang berkaitan.

“Setakat ini, penyertaan masih dibuka sehingga 10 Ogos dan peserta diminta untuk menghantar video kepada pihak penganjur untuk tujuan penilaian di peringkat negeri, ” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi temubual program Kami Bah Ini (KBI) oleh Jabatan Penyiaran Malaysia di sini semalam.

Supian berkata, maklumat lanjut mengenai pertandingan ini, bolehlah menghubungi Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JaPen atau layari laman web www.merdeka360.my.

Pemenang bagi pertandingan Pengisahan Kenegaraan peringkat negeri akan bertanding secara bersemuka di peringkat kebangsaan yang dijangka akan berlangsung pada bulan September 2022 untuk merebut hadiah wang tunai bernilai RM6,000 serta Piala Pusingan Setia Budi.

Beliau juga berkata, selain daripada pertandingan Pengisahan Kenegaraan, JaPen Sabah turut mengadakan pelbagai aktiviti lain sepanjang bulan kemerdekaan.

“JaPen turut menganjurkan program merdeka@community yang akan diadakan di setiap daerah dengan kerjasama Pejabat Daerah melibatkan Komuniti Keluarga Malaysia.

“Disamping itu, Kembara Merdeka Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada 31 Julai lalu turut akan diisi dengan pelbagai aktiviti di semua lokasi jelajah untuk menyemarakkan lagi rasa cinta dan sayang akan negara,” katanya.

Supian yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Promosi dan Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022 berharap agar sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan dapat diraikan dengan meriah oleh segenap lapisan masyarakat selepas dua tahun tidak diadakan disebabkan Pandemik Covid-19.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *