40 ahli PVATM terima sumbangan sempena Hari Pahlawan, Bulan Kebangsaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

PAPAR : Seramai 40 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Papar menerima sumbangan Yayasan Nur Jauhar (YNJ).

Sumbangan sempena Sambutan Hari Pahlawan dan Bulan Kebangsaan itu disempurnakan isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Pengerusi YNJ, Brigedier Jeneral Al Hambra Juhar berkata, program itu merupakan salah satu program YNJ bagi menyantuni keperluan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Program kali ini adalah bersempena dengan Bulan Kemerdekaan dan Hari Pahlawan yang mana keprihatinan pihak Istana Seri Kinabalu untuk meraikan veteran ATM yang telah berkhidmat kepada negara.

“Esok, program sama akan diadakan di daerah Beaufort dan difahamkan seramai 36 ahli PVATM dari Beaufort dan 10 ahli dari Cawangan Sipitang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan YNJ Kepada Ahli PVATM di Dewan Perpustakaan Papar, di sini hari ini.

Mengulas mengenai Bulan Kebangsaan, Al Hambra menyeru masyarakat agar mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan ataupun pejabat masing-masing bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik.

Hadir sama mengiringi Toh Puan Norlidah, Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee; Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd Tamin Zainal, Pengerusi Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

Sementara itu, Pengawal Keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kimanis, Ahmad Idris, 58, dari Kampung Brunei Kimanis yang ditemui gembira kerana nasib rakan-rakan PVATM mendapat perhatian daripada pemimpin.

“Saya berterima kasih kerana ini kali pertama kami menerima sumbangan daripada pihak YNJ dan bagi pihak rakan-rakan PVATM, kami berbangga kerana jasa serta pengorbanan kami dihargai oleh masyarakat,” katanya.

Malah, bekas anggota Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged) Kem Penrissen Kuching itu menggesa lebih ramai veteran ATM mendaftar menjadi ahli untuk menjaga kebajikan sesama ahli.

Terharu dengan sumbangan berkenaan, balu kepada Allahyarham Kpl (B) Kaling Yaakub iaitu Fatimah Samsudin, 70, dari Kg Biau Bongawan.

“Terima kasih banyak kepada pihak istana, sumbangan ini dapat menampung keperluan hidup kami sekeluarga,” jelas nenek kepada tiga cucu yang juga penerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *