HomeUtamaProjek naiktaraf sekolah daif di Sabah tidak terjejas, akan diteruskan

Projek naiktaraf sekolah daif di Sabah tidak terjejas, akan diteruskan

Read Time:1 Minute, 27 Second

TULID : Projek pembinaan naik taraf sekolah-sekolah daif khususnya di Sabah tidak akan terjejas susulan pengumuman rasionalisasi langkah penjimatan Kerajaan bagi membantu meningkatkan lagi jumlah subsidi ketika ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek menaiktaraf sekolah daif merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pembangunan infrastruktur pendidikan yang selesa dan selamat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, Kerajaan terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan demi masa depan pewaris negara.

“Sebanyak 131 buah sekolah daif telah diamanahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai agensi pelaksana oleh KPM dengan kos keseluruhan projek menaik taraf sebanyak RM1.22 bilion.

“Projek sekolah daif merupakan salah satu keutamaan Kerajaan dan Kementerian Kerja Raya yang memberikan manfaat yang khusus bagi rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menyerahkan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Simbuan kepada Guru Besar sekolah berkenaan di sini hari ini.

Pembinaan bangunan baharu SK Simbuan merangkumi enam unit bilik darjah, bangunan pentadbiran, dua unit rumah guru, makmal sains dan lain-lain kemudahan dengan kos peruntukan sebanyak RM5.093 juta.

Arthur berkata, persekitaran pembelajaran memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, persekitaran fizikal seumpama guru ketiga yang membimbing pembelajaran dalam bilik darjah.

“Para pelajar akan dapat memberi lebih penumpuan terhadap pembelajaran apabila mereka berada dalam situasi yang selamat dan selesa.

“Projek yang berteraskan kepada keperluan rakyat mencerminkan keprihatinan Kerajaan dalam memastikan anak-anak kecil Keluarga Malaysia mendapat infrastruktur dan persekitaran pendidikan yang selesa bagi membolehkan mereka mencapai perkembangan diri yang optimum,” katanya.

Hadir sama Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan JKR Malaysia Dato’ Ir. Balamurugan a/l A Gopal, Jurutera Awam Penguasa Kanan JKR Malaysia Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah, dan Ketua Penolong Andrew Durat Misum.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Aktiviti Pendataan Digital pendatang asing masih dilaksanakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya