HomeUtamaAnugerah Agro Award MAHA 2022 hargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan

Anugerah Agro Award MAHA 2022 hargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan

Read Time:2 Minute, 10 Second

SERDANG : Sebagai menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang sentiasa giat memainkan peranan sebagai penyumbang utama pengeluaran makanan negara, sebanyak 17 buah anugerah telah dipertandingkan dalam Anugerah Agro sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA 2022).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, anugerah yang dipertandingkan merupakan lanjutan daripada anugerah pada peringkat Hari Peladang, Peternak, Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK).

“Saya berharap anugerah ini dapat memberi suntikan motivasi dan dorongan kepada individu, masyarakat serta pemain industri agromakanan supaya lebih positif terhadap pemodenan serta transformasi sektor tanaman, penternakan, akuakultur dan pemprosesan,” katanya dalam ucapan di Majlis Perasmian MAHA 2022 di MAEPS, Serdang hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut merasmikan MAHA 2022.

Dalam majlis berkenaan, Ismail turut menyampaikan anugerah utama iaitu Anugerah Perdana Sektor Agromakan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut yang membawa pulang trofi, sijil serta wang tunai RM50,000.

Beberapa anugerah lain yang disampaikan termasuk Anugerah Peladangnita Terbaik (Norazizah Amri), Anugerah Peneraju Akuakultur (GK Aqua Sdn. Bhd.), Anugerah Kumpulanita Terbaik (KPW Seri Utama), Anugerah Peneraju Agroteknologi Terbaik (Boom Grow Productions Sdn. Bhd.) serta Anugerah Pemasaran Industri Terbaik (Chin Sam Chiap).

Dalam pada itu, MAHA 2022 yang bertemakan “Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan” atau “Food Security for the Future” adalah tepat dan selari dengan komitmen Kerajaan yang terus memberi tumpuan dalam agenda memperkukuh sekuriti makanan negara.

Ronald menjelaskan, objektif utama penganjuran MAHA 2022 adalah untuk mempromosikan sektor agromakanan dan industri makanan dengan mengetengahkan kepelbagaian produk, kejayaan perusahaan serta pelbagai inisiatif yang diambil oleh agensi kerajaan dan swasta.

“MAHA 2022 turut memberi sorotan utama kepada keseluruhan ekosistem dan rantaian nilai sektor pertanian selain menyediakan ruang untuk mempamerkan peluang perniagaan yang ditawarkan oleh industri agromakanan yang sedang berkembang pesat.

“Pada tahun ini, MAHA 2022 yang meliputi 22 segmen menjadi lebih istimewa kerana ia diadakan secara ‘Hybrid’ buat pertama kalinya, di mana acara platform langsung dan maya digabungkan. Diharapkan melalui gabungan pengalaman seunik ini, sektor agromakanan akan mendapat tambahan momentum dalam menjana pendapatan yang lebih tinggi untuk negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, lebih 1,500 booth pempamer dalam edisi MAHA kali ini mensasarkan seramai 1.1 juta pengunjung dengan RM250 juta potensi nilai jualan.

“Terdapat 28 sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) juga akan berlaku melibatkan nilai pelaburan lebih RM5.6 bilion setakat ini. Ini tidak termasuk sesi padanan perniagaan melibatkan lapan syarikat pemasar dari luar negara sebagai salah satu usaha membawa hasil serta produk agromakanan tempatan ke pasaran antarabangsa.

“Selain itu, lebih 15,000 peluang kerjaya dalam pelbagai sektor disediakan kepada golongan muda dan graduan yang sedang mencari pekerjaan menerusi Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Isu SMM, klip video ADUN disifatkan lebih kepada ‘sakit hati’ dan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular