Kemeriahan kibaran Jalur Gemilang masih kurang dirasai

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU : Selepas hampir seminggu Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sabah dilancarkan, masih banyak premis perniagaan dan kediaman kelihatan belum mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini.

Tinjauan Sabah Media ke beberapa lokasi sekitar bandaraya Kota Kinabalu mendapati hanya sebahagian tempat sahaja yang didapati telah mengibarkan Jalur Gemilang termasuk pejabat Kerajaan, laluan terpilih dan taman permainan awam.

Lazimnya bulan ini akan disemarakkan dengan pelbagai pengisian yang berunsur kenegaraan.

Tujuannya bukan sahaja untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan semata-mata namun turut memupuk kesedaran dan semangat patriotisme serta cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Walaupun banyak aktiviti dan program yang telah diatur bagi tujuan itu, ia tidak akan bermakna kalau rakyat Malaysia sendiri tidak ada kemahuan untuk turut sama memeriahkannya.

Penyerahan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada kakitangan Universiti Malaysia Sabah dalam satu program baru-baru ini

Orang awam yang ditemui mengakui kurangnya kempen kesedaran selain rakyat lebih menumpukan kepada proses menjana ekonomi selepas dua tahun berdepan pandemik COVID-19 turut menjadi antara faktor kepada kurangnya kibaran Jalur Gemilang.

Bagi Ag Sahrin Ag Ahmad berkata, masyarakat khususnya golongan B40 kini dilihat lebih menumpukan kepada proses menjana ekonomi selepas memasuki fasa pemulihan dari COVID-19 yang melanda negara hampir dua tahun lalu.

Ag Sahrin Ag Ahmad

“Selain itu, ia juga berkemungkinn disebabkan kurangnya kempen Kibar Jalur Gemilang khususnya diperingkat akar umbi. Kempen ini perlu juga dimulakan diperingkat sekolah agar anak-anak juga turut menghayati erti Kemerdekaan tersebut,” katanya.

Bagi Mohd Shahrul Thani turut mengakui Kempen Kibar Jalur Gemilang perlu diterapkan bermula diperingkat akar khususnya melibatkan pelajar dan murid sekolah rendah termasuk tadika.

“Selain itu, kempen seumpama juga perlu dilaksanakan diperingkat kampung dimana pimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta daerah turut sama memainkan peranan.

“Semangat kibar Jalur Gemilang juga perlu diteruskan pada bulan lain dan tidak hanya tertumpu kepada bulan Kemerdekaan sahaja,” katanya.

Sementara itu, bagi Norhana Nordin berkata, promosi dan iklan bagi mengimarahkan lagi kempen Kibar Jalur Gemilang juga perlu turut dilaksanakan dengan kaedah rumah ke rumah.

Norhana Nordin

“Pihak berwajib juga perlu membuat pelbagai promosi mengenai kempen ini seperti berkunjung ke rumah seterusnya mengedarkan Jalur Gemilang untuk dikibarkan di kediaman awam dan tidak hanya tertumpu kepada kibaran di kenderaan.

“Kaedah ini juga dilihat akan dapat membantu anak-anak kita sedar mengenai erti kemerdekaan negara agar ianya tidak dilupakan. Selain itu, orang ramai juga kini lebih menerima pemberian berbanding membeli disebabkan masalah ekonomi yang melanda negara,” katanya.

Tun Juhar ketika melancarkan KMKM 2022 pada 31 Julai lalu

Pada 31 Julai lalu, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin telah melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Pahlawan dan Bulan Kebangsaan 2022 peringkat negeri Sabah.

Pada majlis itu, Tun Juhar turut melancarkan Konvoi Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 yang disertai sebanyak 15 buah kenderaan Jabatan Penerangan (JaPEN) Sabah dan beberapa jabatan serta agensi Kerajaan lain.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor

Masidi dalam sidang medianya sebelum ini berharap agar semua pihak dapat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah disetiap premis meskipun negara baharu sahaja keluar dari masalah pandemik COVID-19 yang teruk.

Beliau turut berharap agar lebih ramai orang perseorangan dan syarikat swasta khususnya dapat membantu bagi menyumbang seterusnya membantu mengibarkan bendera sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *