KOTA KINABALU : Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu jurang ekonomi wanita khususnya di kawasan luar bandar bagi memastikan lebih ramai golongan wanita mendapat akses kepada bantuan, peluang ekonomi dan sokongan pembangunan diri.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki berkata, usaha memperkasa wanita perlu terus diperkukuhkan menerusi pelbagai dasar, program dan inisiatif yang memberi fokus kepada kesejahteraan keluarga, pembangunan komuniti serta peningkatan taraf hidup wanita.
“Wanita perlu diberi lebih banyak ruang untuk melibatkan diri dalam bidang kepimpinan dan politik demi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita pada masa hadapan.
“Wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi keluarga, malah turut menjadi penggerak pembangunan masyarakat dan ekonomi negeri.

“Oleh itu, usaha memperkasa wanita di peringkat akar umbi perlu terus dipertingkatkan agar mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Kasih Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bertemakan “Suara Anda, Aspirasi Kami” sempena Sambutan Hari Ibu 2026 di Wisma Wanita, pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Rina Jainal.
Dalam pada itu, Julita turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) atas komitmen berterusan menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya golongan wanita dan ibu melalui pendekatan inklusif, mesra rakyat dan berimpak tinggi.
Menurut beliau, sambutan Hari Ibu bukan sekadar acara tahunan, tetapi simbol penghormatan kepada insan yang menjadi sumber kasih sayang, kekuatan dan pengorbanan dalam institusi keluarga.
“Seorang ibu bukan sahaja mendidik anak-anak mengenal kehidupan, malah menjadi pembentuk nilai, akhlak dan masa depan generasi,” tambahnya lagi.
Program berkenaan turut menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pendaftaran kursus wanita, pendaftaran NGO wanita, khidmat nasihat, Klinik Guaman Wanita serta pameran perkhidmatan oleh Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS).
Program tersebut dihadiri Pengarah JHEWA, Haslina Ismail serta wakil agensi kerajaan, NGO, usahawan wanita, rakan strategik serta masyarakat setempat dalam suasana penuh mesra dan harmoni sempena Sambutan Hari Ibu 2026.



