Penternak ayam rugi 30 sen/kg, Cadang Kerajaan segera teliti semula sekatan eksport 

Read Time:2 Minute, 12 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk segara meneliti beberapa polisi yang perlu diubah suai berhubung sekatan eksport ayam sejak 1 Jun lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutif MATA Aerotech, Wan Azrain Adnan berkata, ini kerana ramai penternak ayam yang mengalami kerugian, sekali gus memerlukan jalan penyelesaian  segera. 

“Kos penternakan ayam berjumlah antara RM 6.30/kg hingga RM 7.40/kg manakala, harga jualan ayam di ladang ialah RM 4.50/kg hingga RM 4.80/kg. Ini adalah harga ayam yang dijual oleh penternak ayam kepada pemborong. Harga siling RM 9.40/kg yang ditetapkan oleh kerajaan ialah harga peruncit kepada pengguna. 

“Untuk membantu penternak ayam, kerajaan menyediakan subsidi sebanyak RM 1.20/kg. Setakat ini, kerajaan menyalurkan subsidi sejumlah RM 1.1 billion kepada penternak ayam dan telur. 

“Ini bermakna pendapatan maksimum yang mampu diraih oleh penternak ayam ialah RM 6/kg (RM 4.80/kg + RM 1.20/kg), berbanding dengan kos penternakan ayam paling minimum iaitu RM 6.30/kg. Oleh itu, penternak ayam mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM 0.30/ kg. Penternak ayam kecil dan sederhana mengalami kerugian yang lebih besar kerana kos mereka adalah lebih tinggi berbanding syarikat besar yang mempunyai skala ekonomi (economies of scale) serta fasiliti penternakan ayam yang moden. 

“Situasi ini telah menyebabkan ramai penternak ayam sukar untuk meneruskan operasi dengan kos penternakan yang merugikan. Siapa yang mahu berniaga rugi?” soalnya dalam satu kenyataan. 

Wan Azraain yang sebelum ini  pernah berkhidmat di Majlis Penasihat ekonomi Negara, Jabatan Perdana Menteri itu berkata sekatan eksport ayam turut memberi kesan negatif kepada ekonomi ayam negara. 

Jelasnya, meskipun pelaksanaan sekatan eksport tersebut telah  menstabilkan bekalan serta harga ayam di pasaran domestik, namun langkah itu mula menyebabkan lambakan bekalan ayam. 

Malah, katanya lagi, situasi menjadi lebih buruk apabila Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilaporkan menjelaskan bahawa CoopMart juga bakal mengimport ayam bermula September 2022.

“Penternak ayam, terutama kecil dan sederhana, sedang menghadapi isu aliran wang tunai kerana kos penternakan lebih tinggi daripada pendapatan. Tambahan, penternak ayam menghadapi kerugian apabila mengalami kesukaran untuk menjual ayam akibat lebihan bekalan. 

“Ini menyebabkan penternak ayam tidak mampu untuk menternak ayam dan terpaksa mengurangkan jumlah ternakan ayam untuk pusingan ternakan ayam seterusnya. Secara amnya, ayam di ternak selama 35 hari sebelum di jual. Ini bermakna, sekiranya situasi ini berterusan, bekalan ayam domestik bakal berkurangan di dalam beberapa bulan akan datang. 

“Justeru, polisi kerajaan mesti segera di teliti serta diubah suai mengikut keadaan sebenar pasaran, hentikan sekatan eksport serta-merta. Pada masa yang sama, teliti secara terperinci cadangan agar sistem harga siling ayam digantikan dengan harga apung ayam yang di tentukan oleh pasaran,” ujarnya lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.