795,906 penerima BKM di Sabah diluluskan permohonan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 58 Second

NABAWAN : Seramai 795,906 penerima program Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) di negeri ini telah berjaya diluluskan permohonan (tidak termasuk rayuan) melibatkan peruntukan melebihi RM718 juta.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, jumlah penerima BKM yang tiada akaun bank turut merekodkan penurunan tahun ke tahun berbanding penerima yang sudah mempunyai akaun bank. 

“Bagi daerah ini pula, ia melibatkan peruntukan BKM bernilai RM525,000 yang memberi manfaat kepada 656 penerima yang tidak mempunyai akaun bank dan hadir pada hari ini.

“Dianggarkan seramai 420 penerima akan membuat penunaian dalam Program Hebatkan Pensiangan: Mobile Community Services (MCS) ini dan bakinya akan disambung esok di Pagalungan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri Program Hebatkan Pensiangan : Mobile Community Services di sini hari ini.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, jumlah tersebut juga merupakan sebahagian daripada 9036 penerima BKM yang berjumlah RM2,233,650 yang telah disediakan kerajaan di Parlimen Pensiangan.

Katanya, ini menunjukkan bahawa dengan adanya akses perbankan di Nabawan melalui perkhidmatan Bank Simpanan Nasional (BSN) bergerak di Nabawan dan Sook serta kemudahan tiga mesin ATM yang telah dibawa di Sook, Keluarga Malaysia di daerah ini mula celik kewangan dan ramai daripada penerima BKM telah berjaya membuka akaun simpanan.

Tambahnya, penurunan itu merupakan satu kejayaan kepada penduduk di daerah ini.

Sementara itu, Arthur berkata, BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan di dalam Bajet 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula dalam pasca-pandemik dan meringankan beban kos sara hidup.

Katanya, Program Hebatkan Pensiangan: Mobile Community Services (MCS) mencerminkan komitmen agensi Kerajaan dan badan bukan kerajaan yang sentiasa bersedia mendekati rakyat.

“Selain itu program ini juga dapat mendengar denyut nadi mereka dalam memberikan yang perkhidmatan terbaik agar penduduk di kawasan pedalaman tidak tercicir daripada agenda pembangunan negara,” katanya.

Terdahulu, seramai 10,000 penduduk hadir memeriahkan Program Hebatkan Pensiangan : Mobile Community Services anjuran bersama Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan, Perbendaharaan Malaysia Sabah, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sabah dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sabah.

Program yang berlangsung selama tiga hari di Nabawan dan Pagalungan telah berjaya membawa sebanyak 41 buah agensi Kerajaan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.

Antaranya seperti pendaftaran lesen Kementerian Kewangan atau di Sabah lebih dikenali LESEN PMS, Pameran CIDB Malaysia bersama ABM Negeri Sabah yang memberikan pendedahan dan menarik minat orang muda menyertai bidang TVET Industri Pembinaan, perkhidmatan Kebajikan serta pelbagai program menarik untuk manfaat Keluarga Malaysia di Nabawan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *