70 peserta berjaya tamatkan pengajian SAPS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU : Seramai 70 orang peserta berjaya menamatkan pengajian dalam Sijil Asas Pengajian Syariah (SAPS) menerusi dua siri yang dilaksanakan di Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS Profesor Madya Dr Raman Nordin berkata, pelaksanaan SAPS merupakan cetusan idea mantan Pengarah Pusat Islam UMS Dr Sarip Adul yang diyakini akan dapat menyumbang kepada misi universiti dalam mencapai kecemerlangan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu.

Dari jumlah peserta yang menamatkan pengajian, seramai 18 peserta adalah dari siri satu sesi 2021, 36 peserta (siri dua 2021) dan 16 peserta (siri satu sesi 2022).

“Saya percaya, banyak cabaran yang dilalui para graduan bagi menamatkan pengajian di era merentasi pandemik Covid-19 sehinggakan ia dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

“Di samping itu, pelaksanaan SAPS juga sebagai memenuhi hasrat Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 untuk melahirkan modal insan holistik yang mampu untuk menghadapi cabaran dan tuntutan semasa melalui pelaksanaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi SAPS siri satu dan dua sesi 2021 dan siri satu sesi 2022 di sini semalam.

Dr Raman yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMS berkata, pelaksanaan SAPS merupakan salah satu daripada pelaksanaan Modul Pembelajaran Islam Sepanjang Hayat (PISH) yang dirancang pelaksanaannya.

Katanya, sehingga kini terdapat dua pensijilan Pembelajaran Islam Sepanjang Hayat telahpun dilaksanakan iaitu Sijil Profesional Pengurusan Masjid (SPPM) dan SAPS yang telahpun ditawarkan sebanyak tiga siri bagi setiap sijil.

“Konteks pembelajaran sepanjang hayat dalam Islam adalah sangat jelas kerana Islam menggalakkan umatnya untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang demi manfaat manusia.

“Ia bermaksud bahawa ilmu yang dipunyai oleh manusia tidak pernah cukup, malah manusia digalakkan untuk mempelajari sesuatu yang tidak diketahui olehnya supaya menjadi seseorang yang lebih tahu.

“Pembelajaran sebegini dapat memperbaiki kehidupan seseorang manusia melalui peningkatan kemahiran kerja, pengislahan sahsiah diri dan bertambahnya ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang,”katanya.

Sementara itu, Dr Raman merakamkan tahniah kepada Pusat Islam UMS bertanggungjawab sebagai urus setia yang melaksanakan pensijilan ini.

Katanya, ianya selaras dengan peranan Pusat Islam UMS dalam membangunkan program dan aktiviti pembelajaran keagamaan di UMS dalam meningkatkan kefahaman Islam, pengamalan, penerapan akhlak mulia dan nilai-nilai murni dalam kalangan warga UMS khususnya dan masyarakat awam amnya.

“Tidak dilupakan juga kepada Fakulti Pengajian Islam UMS yang menyumbang tenaga pengajar berkepakaran dalam bidang masing-masing demi menjayakan pelaksanaan SAPS serta agensi luar khususnya pejabat Mufti Negeri Sabah yang turut sama menggembleng tenaga menjayakan pelaksanaan kelas ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *