Laksana proses pindah milik tanah sebelum naik taraf sekolah – Radzi Jidin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

BERNAMA

KOTA BELUD : Proses memindah milik tanah sekolah kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum menaik taraf atau membina baharu bangunan sekolah daif, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata ini merupakan langkah penting kerana proses pemilikan tanah merupakan antara faktor utama yang menyebabkan banyak sekolah daif di seluruh negara khususnya di Sabah tergendala dan tidak dapat diteruskan.

“Bagi memastikan projek membina baharu atau menaik taraf infrastruktur sekolah itu berjalan lancar kita perlu selesaikan masalah tanah dahulu, sebagai contoh terdapat beberapa sekolah di Sabah menghadapi masalah seperti itu…tender projek dan kontraktor sudah ada namun projek tergendala disebabkan tanah.

“Kita tidak mahu masalah ini berlaku lagi kerana ia akan merugikan kerajaan dan sekolah berkenaan pula lambat untuk dinaik taraf atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kukut dan SK Sarang dekat sini, hari ini.

Mohd Radzi berkata projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon, yang sebelum ini tergendala kerana masalah pemilikan tanah, kini telah dilaksanakan.

“Sekolah berkenaan sudah bertahun-tahun menumpang di SK (Sekolah Kebangsaan) Langkon, kita ada peruntukan namun masalah tanah pula timbul. Namun kini pembinaan sekolah berkenaan berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata dua lagi sekolah kebangsaan yang akan dinaik taraf di kawasan Kota Belud dalam masa terdekat iaitu SK Nanamun dan SK Pandasan.

“la kini dalam proses tender yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sekolah ini adalah kategori daif. Kementerian akan mengutamakan sekolah daif yang mempunyai masalah mendesak,” tambahnya. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *