KPDNHEP Sabah berjaya gagalkan cubaan seleweng minyak diesel bersubsidi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Kampung Biah, Keningau pagi tadi.

Serbuan yang dijalankan sepasukan penguatkuasa KPDNHEP pada jam 7.45 pagi itu telah menjumpai sebanyak 5,000 liter minyak diesel di dalam lori tanker dan tong drum yang dipercayai untuk dijual kepada pihak industri.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, selain itu turut ditemui alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu tiga buah kenderaan lori beserta tong drum dan skid tank turut dirampas dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM128,750.

“Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi tersebut yang sedang sibuk memindahkan barang kawalan semasa serbuan dijalankan turut ditahan dan diambil keterangan bagi siasatan lanjut.

“Berdasarkan keterangan awal, pekerja tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata, pihaknya telah menjalankan risikan selama dua hari sebelum serbuan dijalankan.

Katanya, sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

Katanya, KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran yang disediakan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *