Sabah masih belum terima bayaran tunggakan SST dua syarikat minyak dan gas

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah masih belum menerima bayaran tertunggak Cukai Jualan Negeri (SST) dari dua buah syarikat minyak dan gas milik Hibiscus Petroleum Bhd.

Menteri Kewangan II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, beliau juga belum boleh tersenyum sekiranya bayaran SST yang tertunggak itu belum dijelaskan.

“Sekiranya mereka telah membayar, saya akan tersenyum sampai telinga. Namun kamu tidak nampak saya tersenyum seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pembayaran SST dari dua buah syarikat yang kini masih belum dijelaskan kepada Kerajaan negeri.

Masidi sebelum itu melancarkan Majlis ‘Oil and Gas Services and Equipment (OGSE) Roadshow di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Dua buah syarikat berkenaan ialah Repsol Oil and Gas Ltd (Repsol) dan SEA Hibiscus Sdn Bhd (SEAH).

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, Kerajaan akan membatalkan semua permit kerja yang dikeluarkan kepada kedua-dua syarikat sekiranya gagal menjelaskan tunggakan SST berjumlah RM79 juta.

“Kita (Kerajaan) akan meneruskan tindakan itu berdasarkan kuasa perlembagaan dan undang-undang negeri. Apa sahaja jalan yang ada, ini sedang ditangani oleh Kerajaan bersama Petronas.

“Bagaimanapun Kerajaan tidak menghadapi masalah dengan mana-mana syarikat minyak dan gas lain. Jika semua syarikat membayar, Kerajaan akan mengutip kira-kira RM1.2 bilion setahun,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Masidi berkata, pada masa ini terdapat sebanyak 369 syarikat OGSE di Sabah namun separuh daripadanya tidak aktif.

Menurutnya, syarikat terlibat berkemungkinan tidak cukup kompetitif untuk membuat pengambilan pekerjaan yang besar.

“Mungkin juga mereka tidak mengambil bahagian secara aktif dalam teknologi atau inovasi seperti ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.