STPM : 58 sekolah di Sabah lulus 100 peratus

Read Time:1 Minute, 50 Second

SEMPORNA : Seramai 60 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di negeri ini berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 berbanding seramai 72 orang pada tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Tah Nia Jaman berkata, jumlah itu juga menunjukkan penurunan seramai 12 orang calon.

Katanya, sebanyak 58 buah sekolah daripada 98 sekolah kerajaan yang mendaftar untuk calon STPM memperoleh kelulusan penuh 100 peratus pada tahun lalu dan sekolah-sekolah terlibat dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan bilngan calon yang menduduki peperiksaan STPM.

“Pencapaian PNGK STPM 2021 bagi tahun lalu ialah 2.70, menurun sebanyak 0.01 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu 2.71.

“Walau bagaimanapun, pencapaian calon STPM 2021 secara keseluruhannya dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2020 kerana perbezaan yang sangat kecil, iaitu hanya sebanyak 0.01 mata dan perbezaan ini tidak menggambarkan siginifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2021 berbanding dengan calon STPM 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Keputusan Peperiksaan STPM 2021 di Hotel Seafest selepas menghadiri mesyuarat Kurikulum Negeri Sabah di sini hari ini.

Tah Nia berkata, dari segi pencapaian, calon yang memperolehi keputusan 5P adalah seramai 425 calon (5.89 peratus), 4P seramai 4,763 calon (66.06 peratus), 3P seramai 1,126 (15.62 peratus), 2P seramai 519 (7.20 peratus) dan 1P seramai 276 (3.83peratus).

Katanya, jumlah calon lulus adalah seramai 7,109 (98.60 peratus) daripada 7,210 calon yang menduduki pada tahun 2021 berbanding seramai 7,332 (98.96 peratus) pada tahun 2020 dan ia menunjukkan penurunan sebanyak 0.36 peratus.

“Sebanyak 20 buah pusat peperiksaan terletak  di kawasan bandar dengan pencapaian lulus sebanyak  98.45 peratus  manakala  84 buah sekolah di luar bandar mencapai lulus sebanyak 97.40 peratus.

“Ini menunjukkan jurang perbezaan lulus antara bandar dan luar bandar sangat kecil iaitu  1.05 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Tah Nia merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada calon yang telah mendapat keputusan cemerlang.

“Saya amat berharap agar mereka dapat meneruskan budaya kecemerlangan, dalam apa jua bidang yang akan diceburi pada masa akan datang.

“Kepada yang kurang berjaya pula, anggaplah ini sebagai satu cabaran dan peluang untuk mencipta kejayaan lain pada masa akan datang,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.