HomeUtamaPenduduk rayu agar pihak berwajib segera laksanakan naik taraf jalan Kg Terian

Penduduk rayu agar pihak berwajib segera laksanakan naik taraf jalan Kg Terian

Read Time:3 Minute, 10 Second

Laporan Khas Oleh NORMIMIE DIUN

PENAMPANG: Penduduk Kampung Terian merayu kepada pihak berwajib agar projek naik taraf jalan kampung mereka segera dilaksanakan.

Kampung Terian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Pekan Donggongon, Penampang adalah satu perkampungan yang sangat indah diliitupi hutan tebal yang menghijau dan terdapat bukit bukau di sekelilingnya.

Keindahan alam semulajadi, fauna dan floranya pasti akan memukau setiap para pengunjung yang datang melawat ke perkampungan itu, mereka dapat menyaksikan selain keindahan kehijauan pokok-pokok, kicauan burung yang merdu, di situ juga terdapat air sungai yang mengalir sangat jernih dan sejuk serta terdapat batu-batu yang cantik dan pelbagai jenis ikan air tawar yang jinak kelihatan jelas berenang-renang di dalamnya.

Namun sebalik keindahan Kampung Terian yang hangat diperkatakan itu, penduduknya pula amat terkesan dengan keadaan jalan utama masuk ke kampung mereka yang sangat teruk, jalan tanah kuning yang berlumpur dalam, tidak rata dan licin ketika hujan malah sehingga kini masih belum ada tanda-tanda untuk diperbaiki oleh pihak berwajib.

Pacuan empat roda yang diubahsuai melalui jalan ke Kg Terian, Penampang.

Perkara itu diluahkan oleh Ketua Kampung Kg Terian, Michael Talah, 70, semasa ditemui pemberita Sabah Media baru-baru ini.

Ketua Kampung Kg Terian Michael Talah.

Michael berkata, sepatutnya jalan ke kampung itu sudah dimulakan pembaikannya pada tahun lalu sebaik sahaja kerajaan terdahulu meluluskan projek naik taraf jalan Kampung Terian.

“Saya tidak pasti apa masalahnya sampai sekarang belum ada tanda-tanda projek naik taraf jalan kampung kami dijalankan,” ujarnya.

Michael yang juga penduduk asal di kampung itu, mempunyai enam orang anak, tiga daripadanya sudah bekerja dengan agensi kerajaan di Kota Kinabalu.

“Saya mewakili penduduk di sini amat memerlukan sistem jalan raya yang baik kerana untuk memudahkan kami menjual hasil produk pertanian, keluar masuk dengan mudah sekurang-kurangnya ke pasar Tamu Pekan Donggongon pada hujung minggu.

“Selain itu aspek pendidikan anak-anak kami juga terjamin dan dapat menumpukan pelajaran dengan baik, mendapat kerja yang lebih baik dengan adanya jalan raya yang baik, itu saja yang kami betul-betul mahukan.

“Setakat ini hanya kenderaan pacuan empat roda yang sudah diubahsuai dan motosikal sahaja boleh melalui jalan itu. Namun menaiki motosikal juga banyak risiko dan bahaya sekiranya musim hujan jalan berlumpur sangat licin dan terdapat dua anak sungai lagi yang perlu dilalui, kadang-kadang airnya sangat deras ketika hujan sehingga memaksa penunggang motosikal menunggu ditepi jalan malah ada yang bermalam menunggu air sungai surut untuk melintas,” katanya.

Michael turut memberitahu dari aspek rawatan kesihatan penduduk, walaupun kampung mereka sudah mempunyai klinik kesihatan tetapi kemudahannya tidaklah selengkap di Hospital Queen Elizabeth dan rujukan lanjut kesihatan sudah tentu memerlukan mereka keluar sendiri dan melalui keadaan jalan yang teruk itu.

Sementara itu, seorang penduduk Enis Lian, 49, turut meluahkan perkara yang sama.

“Sekiranya jalan raya Kampung Terian dibaiki sudah pasti kami dapat keluar untuk memasarkan hasil produk pertanian kami di pasar atau di kedai-kedai yang memerlukan sayur-sayuran segar.

“Saya hanya berfikir mengenai tambang pergi dan balik dari kampung ini ke pekan Donggongon ialah sebanyak RM50, memang tidak berbaloi dengan hasil jualan sayuran kami,” kata Enis.

Enis yang juga seorang petani terpaksa menyara lima anaknya dan menjaga suami yang dikategori orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak 1996.

Manakala seorang penduduk lagi dikenali sebagai Jitoi Surai, 45, menceritakan saat sebelum klinik di kampung itu dibina, beliau yang mempunyai sepuluh orang anak berusia dua hingga 25 tahun pernah berpengalaman berjalan kaki selama lapan jam semata-mata untuk ke hospital dari Kampung Terian sambil mengendong anaknya terkena demam panas yang teruk pada ketika itu.

“Mengimbas kembali pengalaman sukar itu, saya tidak mahu berterusan laluinya lagi, saya memohon dan merayu kepada pihak berwajib agar segera melaksanakan pembaikan jalan raya kampung kami ini kerana bukan sahaja untuk kemudahan menambahbaikan ekonomi penduduk tetapi juga dapat menyelamatkan nyawa penduduk,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular