CoreHalal pacu industri Halal di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU : Platform digital CoreHalal yang dibangunkan sebuah syarikat pembangunan aplikasi tempatan Synxsoft Sdn Bhd diyakini mampu membangunkan industri halal negeri ini hingga ke peringkat global.

Syarikat yang bertapak di Kota Kinabalu itu turut menumpukan kepada bidang pengurusan risiko dan latihan berdasarkan garis panduan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, berkata CoreHalal mempunyai potensi yang besar memandangkan ia adalah satu-satunya platform digital yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu.

“Penggunaan platform digital seperti ini dalam perniagaan bukan saja memperbaiki pembangunan industri halal di Sabah, malah turut memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan merebut peluang menerusi pembangunan teknologi.

“Dengan platform digital CoreHalal, ia akan menyediakan panduan kepada usahawan dalam proses mendapatkan pengiktirafan halal dan membantu memperbaiki keberkesanan perniagaan halal mereka secara digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media meraikan kejayaan CoreHalal Startup Sabah di pejabatnya di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Zainudin Aman dan Ketua Pegawai Eksekutif Synxsoft, Mazrie Mahat.

Yakub berkata, platform itu bukan saja memfokuskan kepada sektor makanan dan minuman tetapi juga termasuk semua sektor yang disenaraikan di bawah industri halal seperti farmaseutikal, barangan pengguna dan kosmetik.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus menyokong CoreHalal untuk bekerjasama dengan rakan strategik bukan saja di Malaysia tetapi juga di luar negara seperti Australia, Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Emeriah Arab Bersatu /Dubai.

Menurutnya lagi, pembangunan pesat industri halal Malaysia berjaya menembusi pasaran global khususnya dalam sektor makanan halal dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan berkaitan barangan dan perkhidmatan halal.

“Pembangunan ini menunjukkan bahawa industri halal Malaysia menerima maklum balas yang positif dalam negara dan juga di peringkat global.

“Ia menawarkan pelbagai peluang kepada pengeluar produk dan perkhidmatan memandangkan permintaan untuk kedua-duanya meningkat sejajar dengan peningkatan populasi dunia dan penerimaan pengguna bukan Islam terhadap industri ini,” katanya.

Sementara itu, Mazrie berkata pihaknya berterima kasih kepada agensi kerajaan yang membantu mereka dalam membangunkan platform berkenaan.

“Kami juga berterima kasih atas sokongan penuh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) daripada mula pembangunan platform ini.

“Kami mahu terus bergerak ke hadapan dengan meluaskan lagi pasaran CoreHalal ke Australia pada September depan dan Jepun pada Oktober.

“Adalah diharapkan dengan inisiatif seperti ini, ia boleh memberi inspirasi kepada pemula teknologi tempatan di Sabah untuk bergerak ke hadapan dan meluaskan pasaran mereka ke peringkat global,” katanya.

Pada 1 September depan, Synxsoft akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Halal Development Corporation (HDC) sempena World Halal Business Circuit di Melbourne, Australia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *