NGO gesa Hadi disiasat di bawah akta hasutan

Read Time:2 Minute, 7 Second

CYBERJAYA – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang didakwa memfitnah orang bukan Islam.

Presiden NGO Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) S Shashi Kumar berkata sudah lapan hari sejak 20 Ogos lalu tiada sebarang tindakan dilakukan terhadap anggota Parlimen Marang itu susulan kenyataannya.

“Dalam laporan polis hari ini kita menuntut satu tindakan diambil terhadap Hadi seperti yang ditetapkan undang-undang Malaysia di bawah Akta Hasutan.

“Kami menggesa pihak polis supaya tidak (bersikap) double standard hanya kerana dia seorang yang didakwa sebagai pemimpin parti Islam, kerana semua orang adalah sama di sisi undang-undang seperti yang dijamin oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan

“Tambahan pula, tiada sesiapa termasuk presiden PAS berada lebih tinggi berbanding undang-undang,” katanya lapor portal Malaysiakini.

Terdahulu NGO berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Laporan susulan kenyataan Hadi sebelum ini antara lain dilapor mengatakan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara.

Duta khas bertaraf menteri itu juga mengecam pihak yang “menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.”

“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

“Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera,” kata Abdul Hadi pada 20 Ogos lalu.

Sementara itu, Sashi mendakwa presiden PAS dan PAS menjadi ancaman terhadap kerukunan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama.

Jelasnya, sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa untuk mempertimbangkan untuk membubarkan PAS atas alasan ideologi ‘pelampau’ mereka – dengan cara yang sama Parti Komunis Malaya (PKM) dibubarkan atas perjuangan radikal mereka.

“Ini adalah pandangan kukuh kami daripada GHRF, tetapi bukan sahaja selepas kenyataan Hadi yang menuduh bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai “punca utama” rasuah di negara ini tetapi banyak lagi penghinaan kepada bukan Islam di negara ini.

“Dia telah memfitnah dan secara lisan menyerang orang bukan Islam. Tiada agama yang mengajar anda untuk berbohong atau fitnah tanpa sebarang bukti atau fakta dengan cara sedemikian.

“Jelas sekali Hadi cuba meraih sokongan untuk PRU15 dengan memainkan isu perkauman dan agama,” katanya.

Katanya, PAS perlu melihat nasib rakyat Malaysia yang melalui masa yang sukar akibat pandemik Covid-19.

“PAS hanya merungut dan membuat onar di negara ini tetapi mereka lupa melihat negeri sendiri yang gagal ditadbir, negeri kedua termiskin dalam negara.

“Dengan fahaman ekstremis, fanatik dan perkauman PAS, Malaysia hanya akan mundur lebih jauh, kita akan kehilangan pelabur asing dan pelancong dengan PAS dibayangi sikap fanatik, perkauman dan pelampau,” dakwanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.