Undang-undang Anti Lompat Parti akan dibentang di DUN -Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 51 Second

KENINGAU: Kerajaan Negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kabinet Negeri sudah bersetuju untuk membawa perkara itu ke Persidangan DUN selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan yang menghalang wakil rakyat bertukar parti, baru-baru ini.

Katanya, langkah itu sejajar komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan kestabilan
politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik yang tidak menentu.

“Kita menyokong anti lompat parti dan kita akan bentangkan di DUN tidak lama lagi. Apa
yang berlaku dulu itu, dululah, sekarang kita mahukan kestabilan politik di Sabah.

“Kabinet sudah bersetuju untuk membawa pindaan perlembagaan itu pada persidangan khas DUN untuk mewujudkan anti lompat parti supaya kita boleh tidur lena.

“Tidak lagi kena jaga sana sini, lompat sana sini. Apa yang lepas cukuplah, kita mahukestabilan politik,” katanya ketika melancarkan Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau Di Dewan Masyarakat Keningau, hari ini. (28 Ogos)

Jelajah pertama GRS selepas dilancarkan pada Mei lalu itu turut dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen GRS daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Sabah tidak mahu ketinggalan untuk mewujudkan undang-undang anti lompat partinya sendiri selepas RUU mengenai perkara itu diluluskan Parlimen.

“Tidak payahlah kita lompat-lompat (parti) lagi,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi pencapaian Kerajaan Negeri ialah penyerahan kuasa kawal selia tenaga elektrik dan bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri selewat-
lewatnya tahun hadapan.

Menurutnya, agensi-agensi berkaitan dalam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sedang membuat tindakan susulan untuk persiapan dari aspek teknikal dan perundangan kerana hala tuju ini akan melibatkan proses perundangan di kedua-dua peringkat iaitu Parlimen dan DUN Sabah.

Katanya, sebagai persiapan Kerajaan Negeri akan menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah.

Hajiji berkata, GRS mengalu-alukan penyertaan parti-parti tempatan yang berhasrat menyertai gabungan itu.

“GRS adalah jajaran politik baharu yang menyatu-padukan pemimpin dan parti-parti tempatan untuk bersama-sama membangun Sabah selaras dengan aspirasi dan mandat rakyat.

“Sudah sampai masanya rakyat Sabah menentukan masa depan negeri melalui GRS. Kita perlu bersatu demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah”, tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *