Sambutan Hari Kebangsaan lambang kebebasan dari dibelenggu COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri Sabah yang disambut buat kali pertama sejak pandemik COVID-19 yang melanda negara sebelum ini merupakan satu lambang kebebasan rakyat dari dibelenggu wabak berbahaya itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, meskipun kebebasan itu bukan secara keseluruhan namun ianya memberi anjakan positif keada masyarakat untuk bangkit daripada pandemilk COVID-19.

“Kebebasan ini menjadikan semua golongan masyarakat boleh bebas bergerak melakukan pelbagai aktiviti sosial, keagamaan, riadah dan ekonomi tanpa sekatan yang ketat.

“Secara signifikan sambutan pada tahun ini melambangkan kebebasan kepada kita semua secara individu dan merupakan sambutan pertama selepas dua tahun negara bergelut dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Kami Bah Ini (KBI) di Studio HD TV RTM Sabah di sini semalam.

Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sabah berkata, pihaknya mengajak rakyat untuk bersama-sama menterjemahkan semangat kebersamaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah dimana sahaja agar nikmat kemakmuran kemerdekaan ini dapat diwariskan ke generasi seterusnya.

Katanya, pada era maklumat tanpa sempadan ini, adalah diharapkan rakyat jangan mudah goyah dan terpengaruh dengan propaganda yang  disebarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. 

“Kerajaan negeri pada ketika ini sentiasa memikirkan yang terbaik untuk rakyat kerana sebuah kerajaan tidak akan mampu melaksanakan segala perancangan tanpa sokongan dan kepercayaan daripada rakyatnya,”  katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *