Hajiji Lancar Program Jelajah GRS Lahad Datu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 4 Second

LAHAD DATU: Lebih 4,000 orang menghadiri Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Sri Perdana, dekat sini, hari ini.

Ini merupakan program Jelajah GRS ketiga yang beliau lancarkan selepas Parlimen Keningau dan Kudat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (tiga kanan) yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama para pemimpin GRS melakukan gimik pelancaran Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, hari ini. – Foto ihsan JKM

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam ucapannya mahu pemimpin dan ahli-ahli parti komponen GRS Lahad Datu bekerja kuat dan terjemahkan sokongan mereka dengan memastikan calon GRS menang kerusi Parlimen Lahad Datu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

“Selain kerusi parlimen, kita juga perlu memastikan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Lahad Datu yang kini dipegang oleh parti pembangkang juga dimenangi oleh GRS pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Tidak ada apa yang rakyat boleh harapkan daripada pembangkang, kerana mereka tidak dapat mengubah nasib rakyat.

“Rakyat dan pengundi di Lahad Datu perlu mengubah nasib mereka dengan bijak membuat pilihan pada PRU akan datang. Hakikatnya hanya Wakil Rakyat daripada kerajaan sahaja yang dapat membawa pembangunan dan kemajuan yang lebih pesat
kepada Lahad Datu”, tegasnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerima cenderamata daripada Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga Pengerusi Penyelaras GRS Lahad Datu pada majlis pelancaran Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, hari ini.- Foto ihsan JKM

Menurutnya, GRS akan menerima parti-parti tempatan yang berminat menyertai gabungan itu bersama-sama berjuang bagi memastikan Sabah terus maju dan jaya serta dipimpin oleh gabungan parti tempatan.

“Jika kita sayangkan Sabah, inilah masanya kita bersatu hati dalam GRS. Saya mahu mendengar daripada pemimpin-pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mereka nyatakan bahawa mereka mahu bekerjasama untuk kepentingan negeri Sabah”, katanya.

Majlis itu turut dihadiri oleh presiden-presiden parti komponen GRS iaitu Presiden Sabah Progressive Party (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR SABAH), Datuk Robert Tawik.

Turut hadir ialah Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Juil Nuatim, pemimpin Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *