24 Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Atas terima insentif Penghargaan Persatuan Belia Aktif

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 11 Second

KENINGAU : Sebanyak 24 persatuan belia bahagian Pedalaman Atas telah menerima RM1,000 Insentif Penghargaan Persatuan Belia Aktif daripada Kementerian Belia dan Sukan Sabah semasa program Santai Bersama Belia Pedalaman Atas di sini, malam tadi.

Insentif penghargaan ini adalah bagi menghargai persatuan belia yang bergerak secara aktif di bahagian Pedalaman Atas iaitu melibatkan daerah-daerah seperti Tenom, Keningau, Tambunan, Nabawan dan Sook.

Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Angin berkata, persatuan yang menerima insentif ini adalah mereka yang aktif melaksanakan ataupun menganjurkan program-program berkaitan dengan belia disamping sentiasa bekerjasama erat dengan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS).

“Selain itu insentif ini juga adalah salah satu bentuk terjemahan daripada pihak KBSS untuk melihat kaum belia diperkasa melalui persatuan dan kelab yang mereka sertai agar terus maju seiring dalam konteks Sabah Maju Jaya.

“Saya mengharapkan agar lebih banyak lagi persatuan-persatuan belia yang lain di Pedalaman Atas akan menerima insentif seumpama ini, Oleh itu, bergiatlah secara aktif dalam menggerakkan dan memperkasakan kaum belia terutamanya di kawasan anda,” katanya semasa majlis program santai Bersama Belia itu.

Ellron yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri N.45 Sook itu turut mengulas mengenai kejayaan seorang anak muda pedalaman baru-baru ini iaitu Adik Alesya Asa yang berasal dari Nabawan. Adik Alesya yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia tetap berjaya melakar sejarah di peringkat dunia apabila menjadi salah satu finalis 10 terbaik dalam Global Student Prize dan ini merupakan sesuatu yang luar biasa khususnya bagi warga pedalaman Sabah.

“Pencapaian terbaik Adik Alesya ini diharapkan dapat membakar semangat warga belia khususnya belia pedalaman agar terus berusaha dan berdedikasi dalam serta mengasah bakat anda dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Saya juga mengharapkan agar ada lagi belia dari pedalaman akan terus menyerlah menjadi salah seorang yang membanggakan untuk warga pedalaman,” katanya.

Antara penerima-penerima insentif penghargaan berkenaan Gabungan Persatuan Belia Pedalaman Atas, Kelab Belia Kampung Luanti Baru Sook, Kelab Belia Keningau (KBK), Kelab Rakan Muda Keningau, Kelab Belia Kampung Nandagan Sook, Kelab Belia Kampung Sinua Sook, Kelab Belia Kampung Sinaron Sook, Kelab Belia Berwawasan Pekan Sook, Persatuan Belia Kota Ayangan PEBEKA Sook, Kelab Belia Rumah Murah Keningau, Kelab Belia Apin-Apin Keningau, Kelab Belia Inovatif Kampung Masjid Keningau, Kelab Belia Bariawa Laut Berjaya Keningau, Kelab Belia Kampung Lobong Tambunan, Kelab Belia Kampung Sunsuron Tambunan, Kelab Belia Pekan Tenom, Kelab Belia Tonobon Keningau, Kelab Belia Geomotika, Kelab Belia Pekan Nabawan, Kelab Belia Kampung Keningau, Persatuan Bulan Sabit Merah Keningau, Persatuan Pengakap Keningau dan Kelab Belia Pekan Keningau.

Hadir sama dalam program Santai Bersama Belia itu, Mansur Asun Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson serta warga belia sekitar pedalaman atas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *