KKM komited tingkat fasiliti kesihatan di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) komited untuk meningkatkan lagi fasiliti dan akses kepada kesihatan di negeri Sabah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya telah pun mengumumkan beberapa perancangan yang akan diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam tempoh masa Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe12) dan RMKe13.

Katanya, perancangan itu dijangka akan mengambil masa lapan hingga 10 tahun bagi menaik taraf dua hospital di negeri ini yang mempunyai perkhidmatan kepakaran yang setanding dengan Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.

“Dua hospital berkenaan yang akan dinaik taraf adalah Hospital Duchess Of Kent Sandakan dan Hospital Tawau supaya ia setanding dari segi perkhidmatan kepakaran dengan HQE yang ada di Kota Kinabalu.

“Kita juga akan menaik taraf hospital lain supaya kepakaran juga dapat ditambah di hospital-hospital tersebut.  HQE 2 juga kita akan tambah kepakaran supaya dapat mengurangkan tekanan kepada HQE,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran ANMS Sabah Maju Jaya (SMJ) peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya; Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Khairy berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa hospital lain seperti Hospital Keningau dan Hospital Lahad Datu untuk dinaik taraf menjadi hospital pakar major.

Katanya, hospital lain seperti Hospital Kota Marudu; Hospital Tuaran dan Hospital Beaufort turut dikenalpasti untuk dinaik taraf berikutan tiada kepakaran untuk menjadi hospital pakar minor.

“Ini kita buat sebab kita tahu untuk mendapat rawatan peringkat pakar, rakyat negeri Sabah kena datang jauh ke Kota Kinabalu.  Ada juga yang kena pergi ke Kuala Lumpur dan sebagainya.

“Sebab itulah lebih baik kita bawa kepakaran itu dikawasan-kawasan yang tiada ada kepakaran.  Jadi saya serius dalam usaha ini, saya bentangkan usaha KKM di mesyuarat khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada khamis lalu.

“Perancangan ini mendapat sokongan dari Perdana Menteri dan kini kita akan membawa dalam rancangan bersama Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk dimasukkan ke dalam rancangan-rancangan Malaysia akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya juga telah mengenalpasti sebanyak 326 klinik di Sabah yang daif dan kurang daif untuk menaik taraf.

“Saya telah mohon kepada Kementerian Kewangan, InsyaAllah akan diluluskan 326 iaitu 287 klinik daif yang disebut Ketua Menteri tadi dimana klinik yang dibina dengan kayu yang sudah tidak selamat untuk diduduki dan juga 39 lagi klinik lain yang tidak daif tapi tidak selesa juga akan dinaik taraf,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *