13 kenderaan polis musnah dalam kebakaran bengkel di IPK Kedah

Read Time:50 Second

BERNAMA

ALOR SETAR: Sebanyak 13 kenderaan milik polis musnah dalam kebakaran bangunan bengkel kenderaan, Pejabat Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad bagaimanapun berkata kejadian yang berlaku kira-kira 4.45 pagi itu, tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

“Kebakaran tersebut telah memusnahkan pejabat pentadbiran pengangkutan, bengkel kenderaan, peralatan, kelengkapan pejabat serta 13 kenderaan polis.

“Punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah JBPM Kedah Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.53 pagi, berhubung kebakaran bengkel kenderaan di IPK Kedah.

“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Jalan Kundur dan PBS Seberang Nyonya, bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Kebakaran melibatkan bangunan bengkel kenderaan yang memusnahkan beberapa kereta dan motosikal berkuasa tinggi dan tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.