Penggunaan ICT dalam penyampaian perkhidmatan awam perlu bergerak pantas mendepani norma baharu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 3 Second

KENINGAU : Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam kini perlu bergerak secara tuntas dan strategik dalam mendepani cabaran norma baharu di era endemik.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, pelan strategik Kementerian serta Jabatan perlu dilihat semula supaya norma baharu perkhidmatan awam dapat ditangani dengan bijak dan mendorong kepada perubahan positif dalam perkhidmatan awam.

Katanya, keperluan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan memberi impak besar kepada kos dan tenaga kerja akibat daripada program pendigitalan sistem dan infrastruktur kerajaan.

“Pendigitalan ini dilaksanakan merentasi pelbagai kementerian, jabatan serta agensi dalam kerajaan negeri. Pendekatan ini adalah norma baharu untuk penjawat awam secara amnya dan ia mempunyai kelebihan dan kelemahannya tersendiri.

“Pelaksanaan mesyuarat atas talian (online), webinar dan pendidikan jarak jauh menimbulkan pertikaian terhadap kejujuran dan komitmen terhadap tanggungjawab dan amanah, ianya sering menjadi isu utama oleh ketua dan kakitangan.

“Ini telah menyebabkan ada segelintir pihak pengurusan masih beroperasi kaedah prosedur lama dengan mesyuarat dan perbincangan secara fizikal di pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar ICT Sektor Awam 2022 Peringkat Wilayah Pedalaman Atas di sini hari ini.

Yakub berkata, teknologi terkini perlu mengambil kira pelbagai aspek strategik kerana ia akan menjadi penentu kepada penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

Katanya, dalam hal ini kementerian serta jabatan perlu memainkan peranan yang signifikan dalam mengenal pasti kaedah yang ‘menguntungkan’ pengoperasian pejabat supaya ia berciri hibrid dan fleksibel.

“Pengurusan perubahan dalam perkhidmatan awam sudah pun dijadikan norma baharu dengan didasari teknologi terkini. Ledakan data dan pengurusan data raya perlu ada penyelarasan yang berasaskan impak tinggi kepada rakyat.

“Kepelbagaian maklumat kerajaan di pelbagai peringkat ini berupaya menjadi alat yang berguna dalam proses membuat keputusan dan seterusnya membuat dasar-dasar kerajaan. Kita juga jangan alpa dalam membina sistem baharu yang menggunakan data yang bertindih dan sudah ditelan zaman,” katanya.

Sementara itu, Yakub berkata, penjawat awam juga perlu merubah pemikiran kepada lebih terbuka kerana senario luar jangka adalah norma baharu pada masa kini.

Katanya, ketangkasan penjawat awam pada masa hadapan akan diuji, khususnya dalam mengurus sumber dengan ‘cost-benefit analysis’ yang lebih telus, bebas dan berintegriti.

“Pemikiran di luar kotak, kreatif dan inovasi adalah keperluan yang harus ada pada setiap penjawat awam untuk memastikan sektor awam disanjung dan dihormati oleh rakyat.

“Sesuatu yang perlu kita terima hakikat ialah keperluan kepada ruang kerja yang besar dengan kos yang tinggi mungkin tidak lagi relevan di masa akan datang.

“Tetapi penggunaan ICT melalui pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan menjadi keutamaan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *