PerantiSiswa Keluarga Malaysia mudahkan sesi pembelajaran atas talian

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : “Jika dulu agak sukar untuk membawa komputer riba, namun dengan adanya peranti ini (tablet), saya boleh ikuti pembelajaran secara atas talian dimana sahaja,” kata Karlyn Loen.

Pelajar Fakulti Sains, Makanan dan Pemakanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu mengakui gembira dan bersyukur menjadi antara penerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi fasa pertama yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di sini semalam.

Anak sulung dari empat beradik itu berkata, dengan adanya peranti berkenaan, ianya akan dapat membantu sesi pembelajaran khususnya yang melibatkan atas talian (online).

“Saya sangat gembira diberi peluang untuk menjadi antara penerima peranti siswa ini. Saya rasa sangat membantu khususnya dalam pelajaran terutama ketika pembelajaran atas talian.

“Kalau laptop berat untuk dibawa, jadi dengan peranti ini, saya harap masalah saya dalam pelajaran pun akan dapat diatasi,”katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan peranti siswa itu disini semalam.

Permohonan bagi mendapatkan peranti berkenaan katanya telah dibuat pada bulan April yang lalu.

Sementara itu, rakannya Maytellie Carina Matheus turut mengakui gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk mendapatkan peranti siswa yang diberikan oleh kerajaan.

Pelajar Fakulti Perhutanan Tropika Antarabangsa UMS itu berkata, peranti itu juga merupakan yang pertama diberikan selepas membuat permohonan pada April lalu.

“Saya mula memohon dari bulan April lalu iaitu bagi fasa pertama dan saya pun tidak sangka juga lulus bagi mendapatkan peranti ini,” katanya.

Terdahulu, Noraini berkata, sebanyak 21,633 permohonan Peranti Siswa Keluarga Malaysia bagi membantu proses pembelajaran mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini telah diterima melibatkan fasa pertama dan kedua.

Katanya, jumlah yang diterima sejak permohonan dibuka pada April lalu sehingga sehingga semalam itu adalah melibatkan pelajar yang berada dalam kelompok B40.

Menurutnya lagi, kelulusan pemberian peranti siswa ini dibuat secara berperingkat dan pengagihan akan disempurnakan dalam tempoh tiga bulan.

“Bagi negeri Sabah seperti mana yang di maklumkan bahawa permohonan yang diperakukan layak pada fasa pertama adalah seramai 3,748 penerima dari 5,565 permohonan. Baki bagi fasa pertama sebanyak 1,817 permohonan masih dalam proses tapisan.

“Pada hari ini, kita telah menyerahkan sebanyak 100 peranti siswa melibatkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS); Politeknik Kota Kinabalu (PKK); Universiti Teknologi Malaysia (UiTM); Kolej Antarabangsa Almacrest dan Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *