Pokok tumbang hempap bumbung kereta, 4 sekeluarga selamat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Empat sekeluarga berdepan dengan detik cemas apabila sebatang pokok menghempap bumbung kereta yang dinaiki dalam satu kejadian di Jalan Bantayan Minintod dekat sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 malam tadi (14 Sept) mengenai satu kejadian pokok tumbang menghempap sebuah kereta jenis Perodua Axia di Jalan Bantayan Minintod, Inanam.

“Pasukan Bomba BBP Lintas bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati sebatang pokok telah tumbang menghempap sebuah kereta jenis Produa Axia dan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung kenderaan berkenaan.

Pasukan Bomba BBP Lintas memotong dan mengalihkan dahan pokok yang tumbang menghempap bumbung kereta di lokasi kejadian malam tadi. – Foto ihsan BBP Lintas

“Pasukan bomba bertindak memotong dahan pokok tersebut dan seterusnya dialihkan. Terdapat empat orang mangsa berada di dalam kenderaan tersebut dan dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Menurut Agustavia, mangsa yang terselamat adalah empat sekeluarga terdiri daripada masing-masing seorang lelaki dewasa, perempuan dewasa, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan.

“Difahamkan semasa kejadian kereta yang dinaiki mangsa empat sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari Jalan Inanam menuju ke Jalan Country Heights dan setiba di Jalan Bantayan Minintod berhampiran dengan ADC Driving School tiba-tiba sebatang pokok tumbang lalu menghempap bumbung kereta mereka.

“Seterusnya operasi ditamatkan pada jam 7.44 malam tadi setelah memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi kejadian,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *