SUKMA XX : Skuad karate Sabah di landasan betul capai dua emas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

KUALA LUMPUR: Skuad karate Sabah memulakan cabaran dengan pungutan pingat membanggakan apabila berjaya menyumbangkan satu pingat emas; satu perak dan tiga gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX di Dewan Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini hari ini.

Pingat emas dimenangi gandingan Clevelence Carlo, Mohd Azhad Haziq Henry dan Mohd Haznil Henry dalam acara kata berpasukan lelaki dimana mereka menewaskan pasukan Pahang yang dianggotai Abdul Rahim Shah Zulfaqqar, Muhd Afiq Aiman dan Nasran Nazhan.

Pingat perak pula dimenangi Michell Michelin Linus dalam acara kumite wanita 55 kilogram (kg) dan tewas kepada peserta Kedah, Madhuri Poovanesan.

Pasukan emas Karate Sabah

Pingat gangsa dimenangi Stanley Dulian (kumite lelaki 55kg), Richal Mattan (kumite lelaki 60kg) dan Leong Jia Chii (kumite wanita 61kg).

Pengurus pasukan Richard Ajak berkata, pencapaian pada hari ini meletakkan mereka dilandasan yang betul untuk memburu sasaran dua pingat emas.

“Kita ada beberapa lagi atlet yang akan bertanding. Pertandingan sukan karate berlangsung sehingga Sabtu. Kami akan cuba yang terbaik untuk mengotakan sasaran,” katanya ketika dihubungi.

Sambil itu, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah merangkap Chef de Mission kontinjen SUKMA Sabah, Mansur Asun turut berada di lapangan memberi sokongan kepada skuad karate dan olahraga.

Keseluruhannya Sabah mengutip dua emas, tiga perak dan lima gangsa pada hari ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *