4,978 pokok pelbagai jenis berjaya ditanam dalam Program Penanaman Pokok Yuk Tanam!

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 44 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Program Penanaman Pokok Yuk Tanam! di bawah inisiatif Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi komponen Love KK Network telah mencapai satu lagi tahap kejayaan yang memberangsangkan iaitu berjaya melepasi angka 4,000 tanaman pokok yang disasarkan pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan 4,978 pokok pelbagai spesis.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, dalam Majlis Pelancaran Love KK pada 2 April 2022 lalu, kempen Program Menanam Pokok Yuk! Tanam telah digerakkan dengan sasaran sekurang-kurangnya 2,022 pokok ditanam pada hari tersebut. Sasaran tersebut telah dicapai dengan jayanya.

Datuk Noorliza (kanan) bersama Presiden Kelab Rotary Luyang Dato’ Soh Poh Soon (kiri) semasa acara penanaman simbolik 59 pokok Bunga Raya, bersempena dengan Hari Malaysia ke-59 pada tahun ini, di Di Taman Cycleway Phase 3, Darau, dekat sini, hari ini.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Pengerusi dan ahli-ahli komponen Green KK dan semua yang terlibat.

“Pada hari ini, suka saya umumkan bahawa, Program Penanaman Pokok Yuk Tanam! ini telah mencapai satu lagi tahap kejayaan yang memberangsangkan iaitu ianya telah berjaya melepasi angka 4,000 tanaman pokok yang disasarkan pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan 4,978 pokok pelbagai spesis,” katanya pada sidang media selepas melancarkan acara Hari Penanaman Pokok Sempena Hari Malaysia #4,000, di samping mengadakan acara penanaman simbolik 59 pokok Bunga Raya, bersempena dengan Hari Malaysia ke-59 pada tahun ini, di Di Taman Cycleway Phase 3, Darau, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah 4,978 pokok dan anak pokok berkenaan, sebanyak 36% adalah merupakan spesis pokok teduhan seperti pokok Rhu, Kayu Manis, Tabebuia dan lain-lain, 32% pula adalah merupakan pokok-pokok hiasan seperti Mussaenda, Bougainvillea dan sebagainya, sebanyak 13.5% adalah merupakan pokok-pokok bersifat ekologi seperti bakau dan sebagainya, manakala selebihnya pula adalah merupakan pokok-pokok palma dan pokok buah seperti kelapa dan lain-lain.

“Daripada jumlah keseluruhan itu tadi, peratusan penglibatan ahli-ahli dalam komponen Green KK adalah ditahap yang membanggakan di mana hampir 66%daripada jumlah yang ditanam adalah melalui kolaborasi DBKK dan komponen Green KK iaitu \termasuklah badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Institute Landscape Architect Malaysia Sabah Chapter, Sabah Environmental Protection Association (SEPA), Land Rover Club, Cycling Association of Kota Kinabalu, SHAREDA, Rotary Club, Komuniti Indah Tanjung Aru (KITA), kolej-kolej pendidikan seperti Almacrest, University College Sabah Foundation (UCSF) dan sekolah-sekolah sekitar Kota Kinabalu.

“Manakala sebanyak 23% dari jumlah berkenaan adalah disumbangkan oleh pemaju-pemaju melalui syarat kelulusan pelan landskap,” jelasnya.

Noorliza berkata, Love KK Network melalui tujuh komponen di Healthy KK adalah merupakan satu inisiatif DBKK untuk menggalakkan penyertaan penduduk bandar raya Kota Kinabalu yang berbilang kaum, agama dan peringkat umur dalam aktiviti- aktiviti kemasyarakatan termasuklah yang berasaskan kelestarian alam seperti aktiviti KK Clean-Up Day 1 dan 2, Beauties Love Upcycle, Program Menanam Pokok Yuk! Tanam dan sebagainya.

Menyentuh mengenai program yang diadakan pada hari ini, Noorliza berkata, pihak Kelab Rotary Luyang telah menyumbangkan sebanyak 59 pokok Bunga Raya untuk ditanam di lokasi Taman Cycleway Phase 3 itu. Bilangan 59 pokok ini adalah simbolik kepada ulang tahun ke-59 Malaysia diraikan setiap tahun sejak 1963.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Kelab Rotary Luyang Dato’ Soh Poh Soon bersama pasukannya dalam usaha sama komponen Love KK Network bagi menjayakan acara tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *