SUKMA XX : Myra, Jia Chi raih emas pertama, kotakan sasaran skuad Muaythai Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KUALA LUMPUR: Gandingan Myra Amira Roslan dan Yan Jia Chi berjaya muncul juara untuk mengotakan sasaran satu pingat emas buat skuad Muaythai Sabah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di sini hari ini.

Emas itu diraih Myra dan Jia Chi dengan catatan 8.90 mata dalam acara Waikaru/Mai Muaythai – Seni Duo wanita pada pertandingan yang berlangsung di South City Plaza, Seri Kembangan.

Pingat Perak dimenangi Wilayah Persekutuan menerusi gandingan Nur Ameera Mohd Asri dan Nurul Ain Ismail dengan catatan 8.83 mata.

Skuad Muaythai Sabah berpeluang meraih emas kedua tetapi gandingan Farris Muzzamiel Mahadi dan Thien Zhi Cheng tewas tipis gandingan Wilayah Persekutuan (Mohd Ali Ismail dan Muhammad Taufiq Izazi Safiee) dalam acara sama  kategori lelaki.

Farris dan Zhi Cheng mencatat 9.00 mata untuk akur hanya dapat pingat perak, ketinggalan 0.1 mata sahaja kepada gandingan Ali dan Taufiq yang meraih emas dengan catatan 9.10 mata.

Pengurus pasukan skuad Muaythai Sabah, Ir Nazri Abd Razak berkata, ia adalah kilauan emas bersejarah terutama sukan itu dipertandingakan buat kali pertama di SUKMA.

“Kami sudah menang satu pingat emas dan satu perak. Tentunya ia adalah pencapaian yang sangat membanggakan. Atlet wanita mempamerkan prestasi cemerlang, gandingan lelaki pula tewas tipis pada penentuan emas tetapi mereka telah memberikan yang terbaik.

“Apapun, ia adalah detik bersejarah bagi Muaythai Sabah,” kata Nazri yang juga Presiden Persatuan Muaythai Sabah.

Ia adalah peningkatan pencapaian skuad Muaythai Sabah selepas memulakan cabaran dengan hanya satu gangsa menerusi Eva Anastasia Warren dalam acara tempur wanita 45-48kg kelmarin.

“Walaupun sudah mencapai sasaran, kami tidak akan leka kerana masih ada beberapa acara kita bertanding, ada atlet kita yang sudah mara ke pusingan separuh akhir, bermakna tinggal tunggu pingat warna apa sahaja. Kami akan cuba yang terbaik,” kata Nazri ketika dihubungi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *