HomeIsu tempatanDua penjawat awam mengaku tidak bersalah kes rasuah

Dua penjawat awam mengaku tidak bersalah kes rasuah

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Seorang Penolong Pegawai di sebuah jabatan di sini didakwa atas 10 pertuduhan berkaitan kes salah guna kuasa kedudukannya membabitkan nilai keseluruhan hampir RM43,000, di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini.

Tertuduh Sharif Ahmad Shah Sh. Mundui, 49, Penolong Pegawai Penerangan di Pejabat Penerangan Daerah Kota Marudu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca di hadapan hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan, tertuduh menerima sepuluh pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang telah menggunakan kedudukannya sebagai Pegawai Penerangan Daerah Kota Marudu untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dengan mengambil tindakan iaitu mengarahkan kerani di Pejabat Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara untuk mempelawa syarikat Sutra Gemilang Enterprise milik abangnya Sharif Idrus Sarif Mundoi @ Habib Ali sebagai pembekal perkhidmatan menyediakan jamuan makan dan minum bagi program-program jabatannya sekitar Mac hingga Oktober 2019 melibatkan nilai hampir RM43,000.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000.00 (deposit RM8,000.00) dengan seorang penjamin tempatan berserta syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan pasport diserahkan kepada pihak mahkamah.

Dalam kes berasingan di mahkamah yang sama hari ini, seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan menerima suapan membabitkan nilai keseluruhan RM22,300.

Tertuduh, Zainal Aliasan, 33, yang bertugas sebagai Pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Keningau didakwa menerima suapan untuk dirinya suatu barangan berharga, iaitu wang ringgit bagi mempercepatkan urusan tuntutan pembayaran kepada sebuah syarikat.

Kesemua kesalahan yang didakwa dilakukan di Pejabat RISDA Keningau sekitar Mei hingga Julai 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan deposit RM5,000 serta dua orang penjamin tempatan dan syarat tambahan tertuduh hendaklah melapor diri ke pejabat SPRM Kota Kinabalu dua bulan sekali serta pasport antarabangsa diserahkan kepada pihak mahkamah.

Tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 27 Oktober depan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

35 pelajar TARUMT hadir sebagai pemerhati sidang DUN Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya