Lebih 100 pelajar sertai pertandingan mewarna dan melukis Doodle

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH-UMS) berjaya menganjurkan Program Seni@GAH: Pertandingan Mewarna dan Melukis Doodle Sempena Sambutan Hari Malaysia 2022 bertempat di GAH-UMS baru-baru ini.

Bertemakan Apresiasi Hari Malaysia: Keluarga Malaysia Teguh Bersama, program ini bertujuan untuk mempertingkatkan semangat patriotik dan menyemai semangat kasih sayang serta kecintaan kepada negara.

Program ini telah mendapat penyertaan daripada Sekolah Kebangsaan Kolombong, Sekolah Menengah Kebangsaan Kimanis, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, University College Sabah Foundation (UCSF) dan Persatuan Seni Visual Sabah (PSVS).

Pengarah GAH-UMS, Dr. Mohammad Puad Bebit berkata, program ini merupakan aktiviti pengisian sempena sambutan Hari Malaysia yang menjadi platform kepada peserta untuk mempersembahkan hasil karya dan menggalakkan peserta menghargai serta memperkasakan jati diri terhadap hasil karya yang bersifat patriotik.

Beliau berkata, program ini secara tidak langsung menjadi suatu sesi pertemuan antara pelukis seni doodle di Sabah.

“Pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori khas mewarna poster bagi pelajar pendidikan khas SK Kolombong melibatkan seramai 44 pelajar.

“Bagi kategori A pula, seramai 30 pelajar tahap dua SK Kolombong terlibat yang dibahagikan kepada 10 kumpulan. Sementara kategori B, terbuka kepada penyertaan dari SMK Kimanis, IPG Kampus Gaya, UCSF dan PSVS melibatkan seramai 36 peserta yang dibahagikan kepada 9 kumpulan.

“Tempat pertama kategori khas dimenangi oleh Javier Moses John Charles, tempat kedua dimenangi oleh Nur Humaisarah Abdullah dan tempat ketiga, Noah Kevern Juvenil,” katanya ketika ditemui media sempena penyampaian hadiah kepada pemenang.

Katanya lagi, pemenang dalam kategori A melukis doodle (atas impraboard) dimenangi oleh kumpulan yang diketuai oleh Nuurul Hilmeeyah Mokhtar, tempat kedua kumpulan yang diketuai oleh Adeline Geneviev Vitalis dan tempat ketiga kumpulan diketuai Akifa Naila Mohd Husni.

Jelasnya, bagi kategori B pertandingan melukis doodle (atas blok papan) telah dimenangi kumpulan yang diketuai Nur Syafiqah Izati Nilman dan tempat kedua dimenangi oleh kumpulan yang diketuai Albright Liggahan dari SMK Kimanis, manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan dari IPG Kampus Gaya yang diketuai Hamdi Sapirin.

Penilaian pertandingan dilakukan juri jemputan iaitu Dr. Junior Kimwah dan Dr. Lilian Lee Shiau Gee, kedua-duanya pensyarah di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), UMS.

Semua pemenang menerima hadiah berbentuk wang tunai, hamper dan sijil penyertaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *