HomeSukanSUKMA XX : Gabriel raih emas kedua terjun

SUKMA XX : Gabriel raih emas kedua terjun

Read Time:1 Minute, 56 Second

KUALA LUMPUR: Penerjun mewakili Sabah, Gabriel Gilbert Daim berjaya meraih emas kedua pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 menerusi acara 3m papan anjal individu lelaki di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Ia adalah emas kedua Gabriel selepas merangkul emas dalam acara 3m papan anjal seirama bersama gandingannya, Julfaddli Jali semalam.

Dalam aksi hari ini, Gabriel mengutip 390.30 mata dari enam terjunan meninggalkan pingat perak untuk Bertrand Rhodic dari Sarawak yang mencatat 353.95 mata manakala gangsa milik Hanis Nazirul Jaya Surya (Wilayah Persekutuan: 348.30 mata).

Ia adalah persaingan antara atlet kebangsaan untuk tiga pemenang teratas itu tetapi ia berpihak kepada Gabriel.

Pengurus pasukan Khairul Mansur berkata, ketiga-tiga mereka mempunyai peluang seimbang tetapi peluang menang akan memihak kepada penerjun yang paling kurang melakukan kesilapan.

“Gabriel konsisten dalam semua terjunannya untuk merangkul emas, kami gembira capai dua pingat emas dalam acara terjun ini,” katanya.

Sambil itu, hasrat Loo Yie Bing untuk terus melakukan renangan emas tidak menjadi hari ini apabila tewas kepada Tan Rou Xin (Johor) dalam acara 50m kuak dada.

Xin Ying ( dua dari kiri) dan pemenang lain acara renang 800m gaya bebas wanita bersama Chef de Mission kintinjen Sabah, Mansur Asun (kiri) dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryadi Bandy (kanan) semasa majlis penyampaian hadiah.

Yie Bing mencatat 33.21s untuk hanya meraih pingat perak. Rou Xin menang emas dengan catatan 32.78s manakala pingat gangsa milik Lee Yi Lee (Pulau Pinang: 34.28s).

Yie Bing yang telah merangkul tiga pingat emas acara individu sebelum ini menambah koleksi pingatnya dalam acara berpasukan 4x100m gaya bebas bersama Thien Oi Yee, Yipp Chi Tong dan Chu Xin Ying.

Mereka bagaimanapun hanya menang gangsa dengan catatan 4:04.10s. Pingat emas dimenangi Selangor (3:59.83s) manakala pingat perak milik Sarawak (4:01.20s).

Xin Ying juga menambah koleksi pingatnya dengan memenangi pingat perak acara 800m gaya bebas wanita dengan catatan 9:28.04s.

Pingat emas dimenangi Kelly Teo Yao (Sarawak: 9:26.0s) manakala gangsa milik Hooy Jia Yee (Pulau Pinang: 9:32.52s).

Keseluruhannya setakat hari ini, Sabah sudah meraih lima pingat emas, dua perak dan tiga gangsa dari sukan akuatik (renang dan terjun).

Esok, pertandingan sukan renang diteruskan dengan tawaran lapan pingat emas lagi manakala acara terjun menutup tirai pertandingan dengan satu pingat emas.

RELATED ARTICLES
Sukan

Martin Stano dilantik Ketua Jurulatih Sabah FC baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular