126 unit PPR Taman Harmoni dibuka, dibenarkan untuk disewa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

SANDAKAN : Kira-kira 126 unit rumah pangsa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni Sandakan akan dibuka dan dibenarkan untuk disewakan kepada masyarakat setempat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia selepas bangunan perumahan itu terbiar hampir enam tahun selain tidak berpenghuni.

Katanya, terdapat sebuah blok di PPR berkenaan sehingga kini tidak berpenghuni dan mengalami kerosakan akibat perbuatan vandalisme.

“Taman harmoni ini melibatkan satu blok PPR yang belum diisi dengan penghuni tetapi banyak kerosakan telah dibuat akibat vandalisme.

“Ini juga sesuatu yang kita perlu selesaikan dengan segera dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan maklumkan dalam masa terdekat. Ini termasuklah kerosakan yang diperbaiki dan mereka yang layak menduduki tempat itu dapat dipilih segera untuk pindah ke tempat tersebutlah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan kerja ke daerah ini di sini hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata, sebelum ini bangunan berkenaan dibiarkan tanpa penghuni kerana dijadikan sebagai blok khas untuk kegunaan kerajaan.

Bangunan terbiar yang kini rosak akibat vandalisme

Katanya, keadaan itu tidak boleh berterusan kerana dikhuatiri akan menjadi lokasi sarang jenayah jika dibiarkan kosong.

“Justeru, pihak kementerian akan segera membaiki dan memilih indivudu yang layak ditempatkan di PPR berkenaan,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya akan membina gelanggang Futsal dan membenarkan pembinaan tandas Masjid di PPR berkenaan.

PPR Taman Harmoni mula diduduki pada 2016 dan terdapat 1,000 unit rumah pangsa di PPR terbabit.Bagaimanapun, hanya 874 unit dibenarkan untuk diduduki.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *