HomeUtamaPengeluaran padi negara berjaya catat peningkatan tahun lalu

Pengeluaran padi negara berjaya catat peningkatan tahun lalu

Read Time:1 Minute, 47 Second

PASIR SALAK : Pengeluaran padi negara berjaya menunjukkan peningkatan sebanyak 3.1 peratus pada tahun lalu berbanding pada tahun sebelumnya dan ia amat membanggakan meskipun situasi negara berdepan dengan pelbagai cabaran.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini termasuklah cabaran dari dalam dan luar negara berikutan penularan pandemic COVID-19 serta konflik geopolitik antarabangsa.

Katanya, pencapaian ini sekali gus membuktikan pendekatan yang telah dan sedang dirangka oleh Kerajaan menerusi pelbagai usaha dan inisiatif bukan sahaja telah membuahkan hasil malah meningkatkan lagi Tahap Sara Diri (SSL) beras negara.

“Ini juga selaras dengan sasaran SSL beras negara yang ditetapkan oleh Kerajaan supaya ditingkatkan kepada 75 peratus menjelang tahun 2025 dan seterusnya 80 peratus menjelang tahun 2030.

“Seperti yang kita sedia maklum, Program Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi terus meningkatkan hasil pengeluaran padi serta menjamin bekalan padi dan beras negara yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program SMART SBB di kawasan IADA Seberang Perak di sini hari ini.

Ronald berkata, pendekatan ini seiring dengan hasrat Kerajaan di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).

Antara lain katanya, DAN 2.0 menyasarkan peningkatan hasil pengeluaran, mempertingkat kecekapan penggunaan sumber dan meningkatkan taraf hidup serta pendapatan pesawah.

“Inisiatif ini tidak melibatkan sebarang kos tambahan kepada Kerajaan, malah kos operasi ditanggung sepenuhnya oleh Syarikat Peneraju.

“Jika diimbas kembali peringkat awal pelaksanaannya pada tahun 2021, kita telah berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran. Namun, berkat usaha dan libat urus yang dilaksanakan oleh MAFI melalui IADA dan Agensi serta Jabatan lain yang berkaitan, program ini mula mendapat sambutan yang mengalakkan daripada pemain industri dan juga pesawah.,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, sehingga kini, sebanyak 27 syarikat peneraju telah menyertai program ini di 10 buah negeri dengan melibatkan hampir 5,000 pesawah dengan keluasan melebihi 11,000 hektar.

Katanya, pelaksanaan program SMART SBB akan diperluas ke fasa seterusnya dengan penglibatan yang lebih agresif oleh syarikat swasta khususnya yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan MAFI.

“Kejayaan pelaksanaan program tentu sekali mampu merealisasikan hasrat kerajaan dalam memastikan bekalan makanan negara terjamin dan berterusan sepanjang masa,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya