IPDAS disaran jalin kerjasama dengan Masjid Bandaraya KK laksana SKM pendidikan Islam OKU

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 59 Second

KENINGAU : Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) disaran untuk menjalin kerjasama dengan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sebagai rakan industri bagi melaksanakan Skim Kemahiran Malaysia (SKM) pendidikan Islam bagi orang kelainan upaya (OKU).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, ini kerana Masjid Bandaraya telah membuktikan kejayaan mereka mengendalikan pendidikan Islam kepada anak-anak kelainan upaya semenjak tahun 2015.

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini telah melancarkan Aplikasi Glosari Islam (I-Sign) kepada golongan OKU Pendengaran.

Justeru kejayaan ini perlu disusuli dengan menyediakan tenaga pengajar mahir bagi memenuhi keperluan pendidikan Islam bagi komuniti kelainan upaya.

“Oleh itu saya mengesyorkan JAKIM melalui Pemberi Pendidikan Tinggi di bawahnya untuk memperkenalkan SKM pendidikan Islam bagi orang kelainan upaya seperti pekak, buta, bisu, autisma dan lain-lain. Ini adalah tanggungjawab kita bagi memenuhi keperluan fardhu kifayah.

“Saya juga dimaklumkan bahawasanya IPDAS telah melaksanakan beberapa inisatif bagi memperkasa pendidikan tinggi Islam khususnya kepada para mualaf, pelajar pedalaman, pelajar tahfiz dan pondok melalui Sijil Asas Pengajian Islam Malaysia (SAPIM) yang dilaksanakan di IPDAS Kampus Kudat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS kali ke-16 di sini semalam.

Idris berkata, pendidikan agama khususnya para mualaf perlu diberi perhatian agar mereka kekal istiqamah melaksanakan ajaran Islam yang betul menepati Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Justeru beliau mencadangkan Program Sijil Asas Pengajian Islam Malaysia (SAPIM) yang dilaksanakan di IPDAS dapat dimurnikan dan dijadikan Kurikulum Standard Kebangsaan bagi kelas bimbingan mualaf di seluruh Malaysia.

“Melihat kepada perkembangan kemajuan pendidikan yang ketara di IPDAS ini, saya berharap fokus institusi tidak hanya tertumpu kepada pendidikan di dalam bilik kuliah semata-mata.

“Aktiviti atau program pengajian sepanjang hayat perlu dikembangkan selaras dengan kehendak ‘stakeholder’ yang membawa tema “Keluarga Malaysia” dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, kemudahan Online Distance Learning (ODL) dan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) atau Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu oleh MQA sewajarnya dimanfaatkan bagi membuka ruang seramai mungkin pelajar dewasa untuk mengikuti pendidikan Islam tahap tinggi.

“Tambahan pula kerajaan negeri Sabah telah memperkenalkan MUIS Halal Hub. Maka ada keperluan yang amat signifikan untuk IPDAS berperanan melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang halal bagi melengkapkan ekosistem halal hub MUIS.

“Keberadaan IPDAS di bumi Sabah hendaklah bergerak seiring dengan gagasan Sabah Maju Jaya yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sabah. Saya difahamkan gagasan ini amat menekankan aspek pembanguan modal insan di samping ekonomi,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *